fbpx

FGV terus labur dalam perniagaan tani, sinergi

Dzulkifli Abd Wahab

PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) komited untuk terus melabur dan berkembang ke arah perniagaan tani lestari dan sinergi yang lebih luas dan menyasarkan untuk bergerak ke arah aktiviti perniagaan lebih bernilai tinggi untuk mencapai pulangan yang lebih stabil.

Pengerusi FGV, Datuk Dzulkifli Abd Wahab berkata, FGV berhasrat menjadi antara perniagaan tani mampan terulung di dunia dengan jenama produk yang bereputasi tinggi, dan keupayaan pengedaran yang kukuh. 

Selain itu katanya, FGV juga meningkatkan ekspedisi kelestarian agar menjadi syarikat perniagaan tani dan makanan pertama di Malaysia yang merasmikan sasaran Pelan Tindakan Iklim dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“FGV berhasrat bagi mengubah naratif kelapa sawit Malaysia dengan memastikan pertimbangan berkaitan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terus menjadi keutamaan dalam hal ehwal FGV.

“Kami percaya ini adalah kunci untuk memperjuangkan kebaikan minyak sawit yang mampan di peringkat global dan membantu industri untuk mendapat penerimaan serta sokongan antarabangsa. Ini juga adalah satu langkah untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dibuat selepas FGV mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-14 semalam, di mana para pemegang saham telah meluluskan semua resolusi dengan jumlah peratusan setiap saham undian setuju daripada 13 resolusi tersebut adalah hampir 100 peratus.

Selain itu, antara agenda dibentangkan adalah kenaikan yuran dan elaun Pengerusi dan Lembaga Pengarah seperti dicadangkan setelah mengambil kira kompleksiti dan jumlah perniagaan vertikal FGV berbanding syarikat perladangan lain.

FGV akan terus berusaha untuk mengekalkan momentum untuk memenuhi jangkaan dan harapan pemegang saham bagi mencapai sasaran yang telah ditentukan.

Bagi tahun ini, FGV akan memastikan Pelan Strategik Perniagaan berupaya menyediakan maanfaat kepada pemegang saham terutamanya peneroka Felda terutamanya apabila FELDA telah menjadi pemegang saham terbesar pada penghujung 2021 dengan jumlah saham 79.80 peratus.

FGV menjangkakan untuk menjalin sinergi yang bermanfaat kepada kedua-dua pihak menerusi hubungan yang lebih rapat antara FELDA dan FGV, dipacu oleh komunikasi jelas mengenai perkongsian matlamat dan jajaran strategik yang lebih responsif. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!