PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) mematahkan cubaan menghantar 13 ekor lembu korban tanpa permit sah selepas menahan sebuah lori yang membawa haiwan tersebut Jalan Banggol Ara, di sini semalam.
Dalam serbuan pukul 5 petang itu, PGA turut menahan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pihaknya telah mengesah sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan dan bertindak menahan kenderaan tersebut.
Katanya, pemeriksaan yang dijalankan membawa kepada penemuan 13 ekor lembu di lama lori berkenaan.
“Bagaimanapun, semakan ke atas surat kebenaran memindahkan haiwan ternakan dalam Semenanjung Malaysia yang dikemukakan oleh pemandu lori itu mendapati kebenarakan penghantaran 20 ekor lembu ke Kota Bharu.
“Ini menimbulkan keraguan apabila tujuh ekor lembu dipercayai telah dihantar ke lokasi lain yang tidak dinyatakan dalam dokumen kelulusan pergerakan haiwan ternakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan awal mendapati lelaki itu mendakwa dia diarahkan untuk menghantar lembu terbabit ke Kota Bharu bagi memenuhi permintaan tinggi sempena Aidiladha oleh majikannya.
Katanya, lori serta 13 ekor lembu itu telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan untuk tindakan lanjut.
“Kita telah tahan suspek terbabit bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” ujarnya.-UTUSAN










