“Orang ingat bila saya senyap, maksudnya saya sudah hilang dalam industri. Padahal saya masih menyanyi dan masih bekerja macam biasa. Saya sekarang lebih fikir tentang masa depan hidup saya. Saya tak boleh fikir soal nyanyian semata-mata.”
Demikian luahan, penyanyi, Fieya Julia ketika mengulas tanggapan segelintir pihak yang menganggap dirinya semakin menyepi dengan radar suhu kerjaya kononnya semakin suam-suam kuku atau ‘sendu’.
Fieya atau Nur Syafiyah Sejali, 32, menyifatkan kehidupan seorang penyanyi bukan hanya bergantung kepada populariti semata-mata dan artis juga perlu memikirkan soal kestabilan hidup untuk jangka masa panjang.
“Orang selalu nampak penyanyi ini terkenal. Tapi, mereka tidak tahu kadang-kadang pendapatan kami bergantung kepada kerja dan persembahan. Sebab itu saya buat penstriman permainan video juga. Saya cari pendapatan lain untuk masa depan saya.
“Saya banyak dapat mesej dan komen dekat media sosial. Ada yang tanya kenapa saya sudah senyap. Siap ada yang cakap artis sendu sekarang main permainan video untuk menaikkan nama balik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Fieya menegaskan dirinya masih aktif menerima tawaran nyanyian seperti biasa. Dia cuma memilih untuk memperlahankan sedikit perjalanan kerjaya seninya buat sementara waktu.
“Saya masih ambil kerja menyanyi macam biasa. Cuma sekarang saya memang perlahan sedikit sebab tengah fokus benda lain dalam hidup saya. Bukan sebab saya sudah tidak mahu menyanyi. Saya cuma sedang susun hidup saya perlahan-lahan.
“Saya memang tidak aktif sangat di media sosial. Bila orang tengok saya padam gambar-gambar lama, ada sebabnya. Banyak gambar lama yang nampak aurat. Sekarang saya rasa saya tidak boleh simpan lagi gambar-gambar macam itu,” ujarnya.
Tambah penyanyi lagu Perasaanku yang mencecah tontonan sebanyak 77 juta itu, dia kini lebih selesa memulakan semula media sosial dengan kandungan yang lebih dekat dengan dirinya sekarang. Dia cuma mahu berubah menjadi individu yang lebih baik.
“Saya rasa nak mulakan semula. Saya cuma mahu muat naik benda baharu sahaja sekarang. Mungkin sekarang saya jadi seorang yang lebih cerewet dan terlalu mementingkan kesempurnaan.
“Saya masih mahu menyanyi walaupun suatu hari nanti saya sudah berkahwin. Tapi kalau sudah jadi isteri nanti, saya perlu belajar bahagi masa dengan keluarga juga,” ujarnya.
Mahu lebih bersedia
Katanya lagi, komitmen dalam dunia hiburan kadangkala membuatkan dirinya sukar memberi perhatian kepada pasangan. Disebabkan itu, dia mahu lebih bersedia sebelum melangkah ke alam rumah tangga.
“Sekarang ini pun kalau saya ada teman lelaki, saya rasa macam saya tak ada masa untuk dia. Saya tak mahu bila dah berkahwin nanti, benda itu jadi masalah dalam rumah tangga.
“Setakat ini tak ada lagi orang yang mengongkong saya sebab kerjaya. Saya memang akan tegaskan dari awal yang mereka perlu terima kerjaya saya dalam industri ini,” katanya.
Pada masa sama, Fieya turut berkongsi perkembangan terbaharu kerjaya seninya apabila baru sahaja melancarkan solo berjudul Doa Untuk Ibu. Lagu tersebut disifatkan mempunyai makna yang cukup mendalam buat dirinya.
“Lagu itu memang berkisarkan tentang seseorang yang kehilangan ibu untuk selamanya. Saya rasa mungkin tidak semua orang boleh kaitkan diri dengan lagu itu macam lagu galau sebelum ini.
“Alhamdulillah, sambutan dia sangat baik bagi saya. Walaupun bukan semua orang boleh rasa lagu itu, tapi saya bersyukur ramai yang suka,” jelasnya.
Menariknya, Fieya juga mula menyimpan hasrat untuk mengembangkan bakatnya sebagai pencipta lagu pada masa hadapan. Dia mahu terus berada dalam industri muzik walaupun suatu hari nanti tidak lagi aktif menyanyi.
“Saya sebenarnya nak cuba jadi komposer juga selepas ini. Saya nak tulis lagu untuk orang lain pula. Kalau satu hari nanti saya dah kurang menyanyi sekalipun, saya harap saya masih boleh berada dalam industri muzik melalui penulisan lagu,” katanya.










