Feri terhad sukarkan penduduk Langkawi

Feri terhad sukarkan penduduk Langkawi

PENUMPANG berbaris untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi di Jeti Kuala Perlis, Perlis. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Trip perjalanan feri yang terhad dari Terminal Feri Penumpang Kuah, di sini ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis menyukarkan orang ramai khususnya penduduk pulau ini yang bergantung kepada pengangkutan air itu.

Rata-rata mereka yang ditemui berpandangan, perjalanan feri yang ada kini tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk berulang-alik ke tanah besar.

Seorang penduduk, Zakariah Md. Hashim, 31, yang sering berulang-alik bagi urusan bayi kembarnya yang dilahirkan pramatang berkata, sekiranya berlaku kecemasan, dia tidak dapat menaiki feri yang disediakan kerana tiket habis dijual.

“Jadual feri sekarang terlalu terhad, kadangkala hanya ada tiga trip sehari dari sini. Tiket selalunya sudah habis dijual jika kami perlu naik pada saat-saat akhir. Jadi jalan terakhir adalah mencari mereka yang tidak jadi menaiki feri dan membeli tiket daripada mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bagaimanapun, ujar Zakariah, walaupun dapat membeli tiket daripada orang lain, penguatkuasaan penumpang perlu mempamerkan kad pengenalan agar selari nama di tiket yang dibeli bermula 1 Julai ini bakal menjadikan keadaan bertambah sulit.

Sementara itu, Abdullah Man, 70, berkata, syarikat feri sepatutnya menambah perjalanan feri dan bukannya melaksanakan pemeriksaan tambahan pada tiket.

“Feri yang ada terlalu sedikit sedangkan orang sudah terlalu ramai yang hendak naik feri. Semasa Hari Raya Aidilfitri lalu saya terpaksa guna bot nelayan saya untuk balik ke Langkawi kerana tiket feri sudah habis dijual,” katanya.

Dalam pada itu, Narima Hanapi, 56, berpendapat, pemeriksaan nama pada tiket kelak merugikan penduduk pulau pelancongan itu.

“Kadangkala kita ada kecemasan pada saat akhir dan tiket yang tidak jadi digunakan boleh dijual semula. Tetapi dengan pemeriksaan nama pada tiket, kami tidak boleh menjual tiket tersebut dan ia akan terbazir begitu sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mastura Aziz, 25, berkata, dia kini perlu mengeluarkan belanja tambahan untuk bermalam di tanah besar sekiranya mempunyai urusan di sana.

“Kalau dahulu ada urusan di tanah besar, kami boleh naik feri yang bertolak pada pukul 7 pagi dan pulang dengan feri terakhir yang selalunya berlayar sekitar pukul 6 atau 7 petang.

“Tetapi perjalanan feri sekarang terlalu sedikit dan feri terakhir selalunya belayar awal iaitu sekitar pukul 3 atau 4 petang menyebabkan saya berasa rugi sedangkan urusan di tanah besar tidak mengambil masa yang lama,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya