Empat beradik lelaki sanding serentak

Empat beradik lelaki sanding serentak

SUBHI Othman (bersongkok/tengah) dan Rohani Md. Tan bersama empat pasangan pengantin yang bersanding serentak dalam satu majlis perkahwinan di Felda Bukit Cherakah, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Empat beradik lelaki mencipta keunikan apabila memilih bersanding serentak dalam satu majlis perkahwinan di Felda Bukit Cherakah 2, Kapar, di sini, semalam.

Majlis akad nikah anak kepada pasangan Subhi Othman, 66, dan Rohani Md. Tan, 62,  itu diadakan selang sebulan sejak November tahun lalu.

Mereka ialah Muhammad Aizas, 32, yang mengahwini Nur Azrina Mohd. Aslan, 32; Muhammad Afizi, 29, dengan pasangannya, Nur Azlin Suyun, 37, dan Muhammad Azmir, 28, dengan Nurul Anis Yusof, 28.

Anak bongsu mereka, Muhammad Alfian, 24, pula memilih Nurul Hafizah Abu Bakar, 24, sebagai pasangan hidupnya.

Subhi berkata, dia bersyukur kerana majlis yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lalu itu berjalan lancar.

“Kami pada awalnya merancang melangsungkannya dengan hanya melibatkan Muhammad Aizas pada Jun tahun lalu.

“Namun, tiga lagi anak lelaki kami bersepakat bersanding pada tarikh sama dan mendapat persetujuan kedua pihak keluarga pengantin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Kira-kira 1,500 jemputan termasuk ahli keluarga hadir memeriahkan majlis itu dengan dijamu pelbagai hidangan masakan kampung, mi goreng dan kuih apam balik yang turut diserikan dengan perarakan ala pahlawan Melayu serta persembahan silat.

Subhi berkata, detik itu tidak mungkin dilupakan selepas seorang anak perempuannya mendirikan rumah tangga pada 2015.

Dalam pada itu, pengantin lelaki yang juga anak sulung, Muhammad Aizas berkata, dia tidak menyangka tarikh keramat perkahwinannya turut dikongsi bersama tiga adiknya.

“Majlis ini boleh dianggap sebagai hadiah istimewa kepada ayah dan ibu yang bersusah payah membesarkan kami selama ini.

“Jasa dan linangan air mata kegembiraan mereka tidak mungkin dapat kami ganti sehingga ke akhir hayat,” ujar juruteknik itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN