KUANTAN: Ejen warga asing yang berdaftar dengan kerajaan negara sumber terutama Indonesia kini memperdagangkan tenaga kerja dari republik itu sehingga meraih RM3,000 seorang berikutan permintaan tinggi tenaga buruh pasca Covid-19.
Bayaran itu didakwa bagi ‘tujuan’ membayar kos kemasukan antaranya pasport, pemeriksaan kesihatan, insurans, pengesahan visa, dokumen pengambilan, tiket kapal terbang dan pakaian seragam yang sebelum ini perlu ditanggung pekerja terbabit.
Namun kos itu kini didakwa ‘wajib’ dibayar oleh majikan yang keseluruhannya mencecah RM4,000 seorang pekerja warga Indonesia selain bayaran ditetapkan kerajaan Malaysia seperti levi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) perladangan, lanjutan PLKS, proses PLKS dan visa kemasukan berganda.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber sektor perladangan berkata, harga ditetapkan ejen untuk tenaga kerja asing dari Indonesia tidak sama antara RM2,500 ke RM3,000.
“Majikan sebenarnya tiada masalah untuk bayar kos berkenaan, cumanya yang menjadi masalah harga tidak sama dengan yang ditawarkan oleh ejen berdaftar.
“Selain tiada penyelarasan, tidak ada satu pun kenyataan dikeluarkan tentang bayaran oleh majikan untuk seorang pekerja asing terbabit.
“Apabila ditambah bayaran diminta ejen dan kerajaan Malaysia, kosnya tidak sama iaitu antara RM2,800 hingga mencecah RM4,000 seorang pekerja asing,” katanya di sini semalam.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman dilaporkan berkata, kekurangan penuai sawit dalam kalangan pekerja asing menyebabkan kerugian RM21 bilion pada 2021 dan dianggarkan berterusan RM28 bilion tahun ini.
Abdul Latif berkata, beberapa isu telah dikenal pasti untuk menyelesaikan masalah kekurangan pekerja asing menerusi campur tangan jangka pendek dan panjang yang berkesan.
Isnin lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, majikan boleh membawa masuk buruh dari tiga negara sumber termasuk warga Bangladesh dan permohonannya boleh dibuat secara dalam talian.
Saravanan berkata, isu melibatkan pekerja asing dari negara itu telah diselesaikan melalui perjumpaan bersama beberapa pemimpin Bangladesh dalam lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini.
Sumber itu berkata, sebelum ini bayaran seperti pasport, pemeriksaan kesihatan, insurans, pengesahan visa, dokumen pengambilan, tiket kapal terbang dan pakaian seragam ditanggung oleh pekerja dari negara terbabit.
“Sebab itu sebelum ini, pekerja asing warga Indonesia yang hendak masuk ke negara ini sanggup berhutang, gadai sawah dan lain-lain semata-mata mahu membayar kos berkenaan.
“Namun kini, semua bayaran antara RM2,500 ke RM3,000 ditetapkan ejen bagi seorang pekerja asing perlu ditanggung oleh majikan,” katanya.
Dakwa sumber itu lagi, pelbagai alasan diberikan ejen berhubung kos yang perlu dibayar majikan antaranya tidak mahu berlaku penganiayaan kepada tenaga kerja mereka seperti tidak membayar gaji dan tempat tinggal yang teruk.
“Tidak timbul soal penganiayaan, jika pekerja asing masuk secara sah. Semuanya terurus dengan baik termasuk gaji dan penempatan.
“Tetapi, jika pekerja asing masuk secara haram, itu yang timbul masalah seperti ditindas dan tiada tempat tinggal yang sempurna,” katanya
Sumber itu mendakwa, harga buruh warga Indonesia tinggi berbanding tenaga kerja dari Bangladesh, India dan Nepal yang membabitkan kos antara RM450 hingga RM500. – UTUSAN










