Dua tahun hidup dalam sampah sarap, warga emas diselamatkan JKM - Utusan Malaysia

Dua tahun hidup dalam sampah sarap, warga emas diselamatkan JKM

ALLEX Seah Shoo Chin (kanan) memujuk warga emas berusia 63 tahun untuk ditempatkan ke Pertubuhan Rumah Kebajikan Villa Harapan, Duyong, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki warga emas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selepas dikesan tinggal dalam sampah sarap di bangunan usang Plaza Pandan Perdana di sini, sejak dua tahun lalu.

Lelaki berusia 63 tahun itu ditemukan dalam keadaan terlantar atas tilam nipis, tidak mampu berdiri kerana mengalami sakit sendi.

Pengarah JKM Melaka, Burhanuddin Bachik berkata, warga emas berkenaan sebelum ini bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik sebelum tiba-tiba sakit dan terlantar di bangunan kosong itu seorang diri.

“Difahamkan warga emas ini terpaksa membuang air kecil di sebelah tilamnya kerana dia tidak lagi mampu berdiri dan menguruskan diri. Sepanjang tempoh itu juga terdapat penduduk sekitar yang datang untuk memberinya makanan dan tempat ini dipenuhi sisa sampah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan warisnya dan warga emas itu akan ditempatkan di Pertubuhan Rumah Kebajikan Villa Harapan, Duyong untuk penjagaan lebih terurus.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memujuk warga emas berkenaan bersetuju ditempatkan di rumah kebajikan.

“Saya tidak sangka ada warga emas yang hidup melarat di bangunan usang dan atas rasa kemanusiaan, kita meminta JKM untuk menyelamatkan pakcik ini. Kita ambil masa 20 minit untuk memujuk dan membawanya turun kerana pada awalnya dia enggan berpindah daripada bangunan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN