Dua beranak tembak kucing jiran guna senapang angin ditahan - Utusan Malaysia

Dua beranak tembak kucing jiran guna senapang angin ditahan

KUCING yang diberi nama Molly mati akibat ditembak dengan senapang angin dalam kejadian di Bukit Rambai, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua beranak ditahan polis selepas dipercayai menembak kucing peliharaan jiran mereka menggunakan senapang angin buatan sendiri sehingga menyebabkan haiwan itu mati dalam kejadian di Bukit Rambai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, suspek yang ditahan merupakan warga emas berusia 62 tahun dan anak lelakinya, 27 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, awal siasatan mendapati suspek menembak kucing tersebut kerana berang haiwan itu memasuki rumah mereka.

Katanya, pemilik hanya menyedari kejadian tersebut selepas kucing yang diberi nama Molly itu mengalami muntah darah dan terdapat luka kecil di belakang badan sebelum dibawa ke klinik haiwan.

“Doktor yang merawat kucing tersebut mengatakan haiwan itu tidak dapat diselamatkan kerana kecederaan ditembak dan terdapat geguli besi di dalam badannya. Pemilik kucing berkenaan membuat laporan polis dan tindakan lanjut dibuat oleh Cawangan (D9) Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang membawa kepada penahanan dua suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek pertama ditahan pukul 8 malam di rumahnya di Bukit Rambai dan suspek kedua yang merupakan anaknya diberkas kira-kira pukul 2.30 petang tadi di Pejabat D9 di IPD Melaka Tengah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah suspek turut menemukan 17 butir peluru penabur dalam sebuah bilik dan selaras senapang angin serta beberapa alatan dipercayai sebagai alat ganti senjata itu.

“Daripada siasatan yang dijalankan kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kes ini dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015. Sabit kesalahan suspek berdepan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya