KUALA LUMPUR: Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui hanya kerjasama antara parti-parti politik termasuk pembangkang di bawah khemah besar boleh menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, Pejuang menolak khemah besar itu jika ia diterajui sama ada oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, sikap pemimpin pembangkang yang ‘tidak lurus’ menjadi sebab mengapa Pejuang menolak konsep ‘khemah besar’ pada hari ini.
Bagi beliau, Anwar dan Muhyiddin mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Iya, kalau boleh, adakan khemah besar, pasal negara kita ini menghadapi banyak masalah, terutamanya orang Melayu, orang Melayu banyak masalah.
“Tetapi kita kena cari orang yang lurus, tidak boleh kalau ada orang masuk politik nak cari duit apa semua. Sorrylah,” katanya dalam wawancara eksklusif di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, kelmarin.
Ditanya mengapa Muhyiddin dan Anwar dianggap tidak lurus, bekas Perdana Menteri itu berkata: “Tak lurus.
Anwar tak dapat sokongan, berapa kali dah dia buat pengumuman, dia nak jadi Perdana Menteri. Tapi tak jadi. Dia tak ada sokongan.”
Pakatan Harapan
Kata beliau, jika bukan kerana Anwar, beliau masih menjadi Perdana Menteri di bawah Pakatan Harapan (PH) sehingga hari ini, sekali gus ia tidak akan memberi laluan kepada UMNO dan BN untuk mendominasi kerajaan sekarang.
“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 220 ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.
“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain orang lain saya tak tahu siapa.
“Kalau saya dapat 62, kalau saya juga dapat 92 daripada PH, saya dapat 154, saya jadi Perdana Menterilah. Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Tun Mahathir turut berkata, sebarang perbincangan ke arah mewujudkan khemah besar belum dibuat dengan mana-mana pihak.
Namun, jelas Dr.Mahathir, terdapat beberapa parti politik yang kini sedang dipantau untuk dilihat asas perjuangannya sama ada selari dengan Pejuang atau sebaliknya.
“Tidak ada, tiada mana-mana ahli politik yang menghubungi saya, mungkin melalui orang Bersatu, adalah.
“Cuma, ada dua, tiga parti yang kita dalam kajian, kita tak berani buat keputusan lagi. Kita nak tengok pendirian sebab Pejuang ini satu daripada perjuangannya ialah untuk lawan rasuah, kalau orang dalam parti itu nampak terlibat dengan rasuah, kita tak bolehlah nak kerjasama,” jelasnya.- UTUSAN










