Cuci duit: Warga emas berdepan RM8 juta denda, penjara - Utusan Malaysia

Cuci duit: Warga emas berdepan RM8 juta denda, penjara

SURANDERAN Kuppusamy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengubah wang haram sebanyak RM1.69 juta, di Kompleks Mahkamah Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang juruteknik kereta mewah berdepan hukuman denda sekurang-kurangnya RM8.4 juta dan 15 tahun penjara apabila didakwa terlibat dalam aktiviti ‘mencuci’ wang di Klang pada 2019 hingga 2021.

Tertuduh, Suranderan Kuppusamy, 60, dituduh di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan melupuskan wang yang diperoleh hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,685,543.27 juta.

Sebahagian wang tersebut dilupus ke dalam akaun di tiga buah bank berlainan yang mana pemiliknya terdiri daripada dirinya sendiri, tiga individu lain dan empat syarikat. Sementara RM130,000 dibawa keluar daripada akaun miliknya.

Bagaimanapun, warga emas tersebut, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Helina Sulaiman atas semua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa dalam empat kes berbeza.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Zalizan Lazarous kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap minggu.

Berdasarkan pertuduhan, Suranderan yang merupakan bekas pegawai bank dituduh melupuskan wang antara RM11,398 hingga RM516,480 sebanyak 12 kali.

Bagi kes pertama, dia dituduh melupuskan wang berjumlah RM306,885.08 antara 14 November 2019 hingga 23 Januari tahun berikutnya dan RM745,427.57 antara 19 Disember 2019 hingga 9 April 2020 bagi kes kedua.

Sementara kes ketiga, Suranderan dituduh melupuskan wang sebanyak RM180,000 pada 17 Mac 2020, sementara kes ke empat pula dia didakwa melupuskan wang sebanyak RM453,230.62 pada 29 Mac hingga 28 April tahun sama.

Dia berhadapan tiga pertuduhan bagi setiap kes yang didakwa dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan dan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi.

Peguam, Renuka Krishnasamy yang mewakili Suranderan kemudian memohon jaminan dikurangkan atas faktor tertuduh sentiasa memberi kerjasama dalam siasatan polis dan hadir ke Mahkamah Majistret Klang bagi menghadapi pertuduhan kes sama.

“Tertuduh berusia 60 tahun dan mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Tertuduh juga menghadapi pertuduhan bagi kes serupa di Mahkamah Majistret dan diikat jamin sebanyak RM5,000.

“Selain itu, tertuduh diyakini akan hadir ke mahkamah apabila memfailkan satu tindakan sivil terhadap pengadu di Mahkamah Tinggi pada tahun lalu dan memohon injunksi terhadap pengadu dan peguamnya dan kes tersebut sedang dalam perbicaraan,” katanya.

Beliau menambah, pihak pembelaan tiada masalah untuk mematuhi syarat tambahan penyerahan pasport antarabangsa kepada mahkamah, namun memohon mahkamah menimbangkan keperluan melapor diri di balai polis berdasarkan keadaan kesihatan Suranderan.

“Saya difahamkan bahawa, keadaan kesihatan tertuduh adalah tidak berapa baik, namun tetap hadir pada pertuduhan hari ini. Tertuduh masih mendapat rawatan kerana mengalami masalah panic attack dan darah tinggi.

“Tertuduh juga mengalami masalah blood pressure fluctuate yang mana berbahaya dan boleh mendatangkan risiko serangan jantung,” jelasnya.

Hakim Helina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin serta mematuhi syarat tambahan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula pada 19 Ogos selepas peguam memohon perbicaraan disekalikan dengan pertuduhan yang dihadapi tertuduh di Mahkamah Klang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.