Cemburu mungkin punca wanita hamil ditembak - Utusan Malaysia

Cemburu mungkin punca wanita hamil ditembak

ZAWIYAH Sulong (kanan) menunjukkan wajah cucunya yang maut ditembak dalam kejadian di Kampung Teresek, Repek di sini petang semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Perasaan cemburu mungkin menjadi punca seorang wanita hamil tujuh bulan maut ditembak dengan sepucuk pistol semasa berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Teresek, Repek dekat Pasir Mas petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mencari punca sebenar mangsa, Farrah Emirah Mazlan, 26, mati ditembak pada bahagian perut kirinya dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan mendapati, ibu kepada tiga cahaya mata itu dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol jenis semi auto .380 berdasarkan penemuan kelongsong peluru di dalam kereta jenis Nissan Cefiro yang dipandunya.

“Mangsa yang juga peniaga kedai runcit dipercayai sedang dalam perjalanan untuk mengurut di Kampung Teresek. Mayat mangsa ditemukan di dalam kereta berkenaan kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Lata, Pasir Mas.

“Kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada mangsa ditembak di tempat lain sebelum dibawa ke lokasi kejadian atau sebaliknya,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang antara Superintenden Mohd. Rusli Mat kepada Deputi Superintenden Mohd. Zahir Abdullah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Machang di sini hari ini.

MUHAMAD Zaki (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Machang di Ibu pejabat Polis Daerah Machang, hari ini. – UTUSAN/ROHANA MOHD.NAWI

Menurut Muhamad Zaki, polis sedang menunggu laporan bedah siasat mangsa yang dijalankan di Hospital Pasir Mas hari ini.

Katanya, sehubungan itu, suspek yang berusia 40 tahun telah ditahan reman selama lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Polis masih menjalankan siasatan dan sedang mengesan beberapa lagi suspek yang boleh membantu siasatan dalam kes ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian yang menimpa wanita itu diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya