Bon Odori: Agamawan perlu sepakat, jelas - Utusan Malaysia

Bon Odori: Agamawan perlu sepakat, jelas

PIHAK berkuasa agama digesa sepakat dalam menyatakan pendirian mengenai sambutan Bon Odori yang diraikan rakyat Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pihak berkuasa agama melibatkan mufti dan jabatan-jabatan agama di seluruh negara mesti sepakat dan menyatakan pendirian jelas terhadap sesuatu isu termasuk pesta kebudayaan Jepun, Bon Odori bagi mengelak timbul kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor berkata, kesepakatan antara mufti dan jabatan agama adalah penting kerana mereka adalah panduan kepada seluruh umat Islam dalam sebarang isu keagamaan.

Katanya, apabila timbul pendirian berbeza antara dua pihak berkuasa agama kerana wujudnya perbezaan pendapat, umat Islam berada dalam keadaan tidak pasti.

“Sebelum ini, menteri agama menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dengan pesta Bon Odori, tetapi jabatan agama negeri pula menyatakan mereka tidak menghalang mana-mana pihak untuk menghadirinya. Ini boleh menimbulkan kekeliruan umat Islam,” katanya semalam.

Beliau mengulas langkah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang membenarkan semua individu menyertai pesta Bon Odori termasuk umat Islam, selepas mendapat titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ini selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Mohd. Roslan berkata, jika pesta itu benar-benar mempunyai unsur keagamaan, ia perlu diselidik lebih mendalam dan perlu membuat ketetapan khas dari sudut pandangan agama.

“Kalau pesta ini memang untuk orang bukan Islam, kita tidak halang, tetapi jika ia turut melibatkan orang Islam, perbincangan dan ketetapan khas perlu dikeluarkan berdasarkan pandangan pelbagai pihak seperti penasihat agama dan mufti.

“Perkara ini perlu diberi perhatian pihak berkuasa agama, supaya tidak timbul lagi isu yang boleh mengelirukan umat Islam. Malah, hubungan antara mufti, jabatan agama dan raja-raja Melayu perlu diperteguh. Kalau ada pandangan kontra, harap berlapang dada dalam perbincangan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid meminta mufti, ulama dan pendakwah supaya bersikap lebih proaktif dengan membuat kajian terhadap sesuatu isu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan cepat beri komen, maklumat kena cukup baru boleh buat keputusan. Mufti perlu lebih proaktif, jangan sekadar jawab bila ada kes seperti ini, mufti perlu buat saranan bila sudah pasti, tetapi kalau kurang jelas, tangguh dulu.

“Pendakwah bebas dan ulama juga perlu berhati-hati supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Masyarakat bingung dan keliru ketika ini kerana tidak ada panduan jelas. Malah bukan tanggungjawab menteri untuk jawab mengenai hukum, sebaliknya terserah kepada mufti, barulah boleh susun panduan jelas kepada umat islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN