LANGKAWI: Dua surat diutus oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membangkitkan isu kedudukan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, kedua-dua surat itu tidak mendapat maklum balas sekaligus menafikan kelewatan seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dr. Mahathir berkata, Mohamed Apandi yang ketika itu sebagai Peguam Negara tidak wajar dilantik sebagai Pengerusi pasukan tersebut kerana ia akan melibatkan konflik kepentingan, sebaliknya lebih sesuai menjadi saksi.
“Saya sudah beritahu, tulis surat tak nak jawab. Dua surat kita hantar tidak berjawab. Itu pun saya pergi (ke Jabatan Peguam Negara), mungkin pada saat akhir dia nak jawab, saya pergi sampai ke pejabat.
“Kalau pada masa itu, mereka beritahu, Mohamed Apandi tak jadi pengerusi, saya sedia (bekerjasama). Hari ini pun, kalau orang yang tidak ada konflik kepentingan dilantik, saya sedia bagi maklumat. Apa-apa pun boleh tanya.
“Kita boleh tunjuk surat yang kita hantar tetapi mereka tidak jawab. Macam mana boleh kata salah saya,” katanya selepas bertemu para pengusaha feri Langkawi di sini, malam tadi.
Semalam, Wan Junaidi berkata, pelantikan Mohamed Apandi adalah keputusan Jemaah Menteri dan sebarang bantahan berkaitan kedudukan Pengerusi Pasukan Petugas Khas sewajarnya dibangkitkan lebih awal untuk perhatian kerajaan.
Sementara itu, Dr. Mahathir tidak kisah dilabel sebagai biadab berhubung kenyataannya melibatkan institusi diraja yang didakwa bebas serta mengatasi undang-undang.
Katanya, beliau hanya bercakap mengenai perkara sebenar yang sememangnya berlaku termasuk soal kedaulatan negara.
“Biadab, biadablah. Tetapi apa yang saya katakan ini berlaku. Seketul batu yang tidak sampai setengah meja besarnya, buat macam-macam, kononnya kedaulatan.
“Tetapi (mereka) pergi jual 1,700 ekar tanah Johor kepada orang China, bukan ‘Malaysian Chinese’, itu lebih dahsyat lagi, tetapi itu tiada masalah,” katanya. – UTUSAN










