PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd. (Angkasa) memberi jaminan untuk mengeluarkan 2.5 juta ekor ayam sebulan dengan menyasarkan 100 koperasi di seluruh negara untuk terlibat dalam perusahaan industri ayam.
Presidennya, Datuk Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada ahli-ahlinya, malah kepada seluruh komuniti atau rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Oleh itu katanya, tumpuan Angkasa bukan sahaja dalam sektor ini, tetapi juga dalam sektor lain yang dapat membantu masyarakat mendepani kos sara hidup.
Jelasnya, Angkasa akan membantu koperasi untuk menguasai rantaian pemasaran bermula dari pembekalan sehingga ke pengguna supaya manfaatnya dapat dirasai oleh koperasi ini dan juga orang ramai.
“Sehingga hari ini ada lebih kurang 19 buah koperasi terlibat dalam industri ternakan ayam. Namun, Angkasa yakin dengan kerjasama yang dilakukan dengan sokongan Perdana Menteri, hasrat melahirkan sekurang-kurangnya 100 koperasi dalam perusahaan ternakan ayam ini akan tercapai.
“Buat masa ini, satu koperasi mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan kira-kira 5,000 ekor ayam sebulan. Kita sasar untuk gerakan koperasi dapat mengeluarkan 2.5 juta ekor ayam sebulan apabila hasrat melibatkan 100 koperasi ini telah dapat dicapai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Abdul Fatah, pemasaran bekalan ayam akan diintegrasikan di bawah Projek Barang Asas 100 (BA100) iaitu sistem bersepadu antara pengguna, koperasi peruncit dan juga pembekal.
Ekoran itu katanya, ia bukan sahaja dapat mengatasi masalah bekalan, tetapi dapat menawarkan harga lebih berpatutan kepada pengguna.
“Namun, Angkasa mohon pertimbangan daripada kerajaan untuk menimbang supaya inisiatif tabung agromakanan yang diumumkan sebanyak RM500 juta dapat diperuntukkan sebahagiannya kepada gerakan koperasi.
“Selain itu kita juga mohon koperasi kredit seperti Bank Rakyat dan CoopBank Pertama supaya dapat menyediakan pinjaman khas kepada kolerasi untuk tujuan ini.
“Sebagai dua koperasi kredit terbesar saya kira usaha ini akan dapat membantu merancakkan lagi sektor agromakanan dan mengukuhkan lagi kedudukan koperasi dalam pasaran terbuka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menambah, terdapat banyak faktor yang berkemungkinan mempengaruhi industri ayam untuk kembali stabil, namun Angkasa optimis usaha itu perlu disegerakan seperti disarankan Perdana Menteri.
“Hasrat gerakan koperasi bukan untuk berlawan dengan mana-mana pihak, tetapi untuk memberikan persaingan yang sihat yang mana ia pasti akan membantu dalam usaha menstabilkan harga ayam di pasaran,” jelasnya. – UTUSAN










