PETALING JAYA: Tidak sampai satu peratus atau hanya 2,641 daripada 510,186 yang berikrar sebagai penderma organ menunaikan janji mereka sejak 1997 hingga April 2022.
Statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) menyebut hanya 2,641 pembedahan pemindahan organ dilakukan sejak tempoh itu, termasuk 1,752 pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma selepas meninggal dunia (kadaverik).
Sedangkan pada masa yang sama, 49,111 pesakit buah pinggang tahap lima masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa jalani rawatan dialisis.
Angka itu menunjukkan situasi yang kritikal kerana pesakit buah pinggang terbabit tidak berpeluang menerima organ daripada penderma yang telah berikrar. Ini memaksa mereka terus bergantung kepada mesin dialisis.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Nasional (NKF), Datuk. Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, jumlah pesakit buah pinggang peringkat lima (peringkat akhir) pada 2020 adalah 49,111 orang yang memerlukan mereka jalani rawatan dialisis.
“Daripada jumlah itu, 43,729 pesakit menjalani hemodialisis yang memerlukan mereka pergi ke pusat rawatan atau hospital untuk membersihkan darah dengan mengeluarkan sisa toksin, lebihan garam dan cecair.
“Selebihnya, sebanyak 5,382 pesakit menjalani rawatan dialisis peritoneal yang mana proses membersihkan darah itu dilakukan di rumah tanpa memerlukan pesakit hadir ke hospital,” katanya ketika ditemui semalam.
Berbanding tahun 2019, jumlah pesakit buah pinggang adalah 48,857 orang iaitu 42,070 menjalani rawatan hemodialisis dan 4,929 yang menjalani rawatan dialisis peritoneal.
Menurut Dr. Zaki, walaupun jumlah pengikrar organ adalah tinggi, kekurangan bekalan organ buah pinggang adalah berpunca daripada sesetengah pengikrar yang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak sesuai untuk organnya didermakan seperti meninggal di rumah.
“Apabila mereka meninggal di rumah dan tiada sesiapa yang tahu, kita terlepas peluang mengambil buah pinggangnya. Jika mereka meninggal di rumah, kita hanya boleh mengambil kornea (mata) dan tulang kerana ia boleh diambil selepas beberapa jam sekalipun.
“Penderma buah pinggang perlu meninggal dunia dalam keadaan tertentu seperti di hospital bagi membolehkan pihak hospital mengambil organnya. Ini kerana proses pembedahan itu perlu dilakukan segera iaitu dalam masa empat jam bagi membolehkan organ itu berfungsi,” ujarnya.
Katanya, apabila pesakit buah pinggang sudah berada pada peringkat terakhir, mereka tidak lagi boleh mencegah penyakit itu yang mana ia hanya boleh dirawat menggunakan mesin dialisis sepanjang hayat ataupun menunggu organ daripada penderma.
“Daripada jumlah itu pula, hanya lebih kurang 20,000 pesakit buah pinggang yang layak menerima organ baharu atau menjalani rawatan transplantasi buah pinggang disebabkan faktor-faktor kesihatan tertentu.
“Lebih menyedihkan, kami hanya dapat 80 hingga 100 buah pinggang setiap tahun yang mana ia menyebabkan pesakit baharu buah pinggang terpaksa menunggu giliran hampir 20 hingga 30 tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma,” jelasnya.
Dalam pada itu, Zaki berkata, pesakit buah pinggang meningkat setiap tahun apabila sebanyak 26,962 pesakit baharu direkodkan dalam tempoh dua tahun sejak 2019 sehingga Disember 2020.
“Daripada jumlah itu, pesakit baharu buah pinggang tertinggi adalah pada 2019 iaitu sebanyak 9,419 melibatkan 7,992 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis dan 1,427 menjalani dialisis peritoneal.
“Sehingga Disember 2020, 9,006 pesakit melibatkan 7,511 yang menjalani rawatan hemodialisis dan 1,495 menjalani dialisis peritoneal,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, selain daripada menunggu penderma meninggal dunia untuk menderma organ, penderma juga boleh menderma organ semasa hidup yang mana situasi ini hanya akan berlaku dalam kalangan keluarga.
“Pesakit ini juga menjalani rawatan dialisis. Namun, apabila mereka mahukan kehidupan yang lebih berkualiti seperti mahu bekerja dan berkahwin, kami menasihati mereka melakukan transplantasi buah pinggang yang didermakan oleh keluarga,” jelasnya. – UTUSAN










