kontraktor

49,606 kontraktor tak baharui lesen sebab harga bahan binaan tidak menentu

kontraktor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 49,606 kontraktor bumiputera dan bukan bumiputera tidak perbaharui sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi gred G1 hingga G7 sejak 2018.

Dalam perkembangan sama, kontraktor pembinaan di beberapa negeri juga tidak berani masuk tender pembinaan termasuk projek kerajaan bagi mengelak risiko kerugian berikutan harga simen dan besi melonjak.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, daripada data tersebut, jelas menunjukkan penularan Covid-19 antara faktor yang mempengaruhi trend peningkatan tersebut.

Katanya, ini kerana seramai 10,162 kontraktor tamat atau tidak lagi memperbaharui sijil tersebut pada 2020 diikuti 17,527 kontraktor dengan trend tersebut dijangka terus meningkat.

Jumlah terbaharu tahun ini setakat April lalu adalah 10,096 kontraktor dan ia dijangka terus meningkat susulan kenaikan harga barang binaan yang tidak menentu.

“Banyak faktor diambil kira bukan sahaja disebabkan kenaikan harga bahan binaan. Faktor modal kewangan kerana ada projek yang perlu dibuat dalam tempoh lima ke enam bulan akan datang, tetapi kenaikan harga yang tidak menentu perlu ditanggung oleh kontraktor.

“Apabila kontraktor masuk tender letak harga tinggi tak dapat, tetapi kalau harga rendah cuma merugikan dan kontraktor sendiri yang perlu tanggung. Jadi rugi saja, baik tak perlu masuk tender.

“Industri pembinaan sekarang bukan lagi bisnes kerana risikonya terlampau tinggi apabila harga barang tak menentu dan boleh naik tanpa had. Contohnya kalau minyak naik harga, pengangkutan untuk membekalkan harga binaan akan naik harga,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Jumaat lalu, media melaporkan, harga semua bahan binaan mencatatkan peningkatan berbanding setahun lalu dan akan kekal tinggi dalam jangka sederhana berikutan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan permintaan yang tidak selari dengan pengeluaran.

Mengulas lanjut, Muhammad Fadzill berkata, kebanyakan kontraktor ketika ini juga tidak sanggup masuk tender terutamanya melibatkan agensi kerajaan.

Katanya, ini bagi mengelakkan projek itu tidak dapat dilaksanakan atau terbengkalai berikutan harganya yang tidak berpatutan dengan tempoh projek berjalan.

“Kebanyakan apabila tender-tender agensi kerajaan keluar, tak ada kontraktor yang berani masuk dan mungkin satu atau dua saja yang sanggup membida.

“Contohnya projek itu dibida berjumlah RM50 juta, tetapi bahan binaan naik 20 peratus, maka kos operasi naik sehingga RM60 juta. Jadi tak akan kontraktor nak buat projek yang dia boleh rugi sampai RM10 juta, bankruptlah,” ujarnya.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah pula berkata, banyak kontraktor terpaksa menangguhkan hasrat masuk tender projek pembinaan disebabkan harga simen dan besi tidak stabil.

Katanya, kebiasaannya margin keuntungan bagi sesuatu projek tidak sampai 10 peratus dan kontraktor akan menanggung kerugian jika harga dua bahan binaan itu naik lebih 10 peratus.

Menurutnya, kontraktor bimbang jika mereka mendapat tender sesuatu projek, pembinaannya perlu dilaksanakan atau mereka berdepan tindakan didenda jika projek tidak dijalankan.

“Ketika ini ramai kontraktor pembinaan banyak yang hold tender projek mereka, tak berani disebabkan harga simen, besi dan produk-produk berasaskan simen yang melambung.

“Kontraktor tidak berani mengambil risiko kerana mereka tidak pasti berapa kadar kenaikan bahan binaan itu yang biasa harganya jarang turun.

“Pihak pengeluar pula memberikan pelbagai alasan kenaikan bahan binaan seperti kos pengeluaran yang meningkat, mungkin dari segi tenaga buruh dan banyak bahan yang perlu diimport,” katanya.

Muhammad Muhiyuddin berkata, malah difahamkan disebabkan harga bahan binaan yang tidak stabil, kerajaan juga tidak berani untuk mengeluarkan tender projek pembinaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN