4,500 liter minyak diesel bersubsidi dirampas - Utusan Malaysia

4,500 liter minyak diesel bersubsidi dirampas

PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan memeriksa hos yang digunakan untuk menyalurkan minyak diesel bersubsidi keluar dari tangki petak di atas lori ke dalam tangki petak di dalam stor haram pada serbuan di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, dekat Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah stor haram yang dijadikan tempat menyeleweng minyak diesel bersubsidi di Kampung Tan Sri Mohd Said, Jalan Labu, dekat sini diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan hari ini.

Dalam operasi kira-kira pukul 1.45 petang itu, pasukan berkenaan merampas sebanyak 4,500 liter minyak diesel yang sedang dipindahkan dari sebuah lori satu tan ke tangki petak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd. Muis Samsudin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat dua tangki petak yang diubah suai berada di atas lori berkenaan dan lima tangki petak diisi penuh dengan minyak diesel di stor berkenaan.

“Semakan awal mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.

“Berikutan itu, seorang lelaki tempatan berumur kira-kira 30 tahun yang dipercayai bertanggungjawab di lokasi serbuan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, selain minyak diesel bersubsidi, pihaknya juga telah menyita sebuah lori satu tan yang diubah suai, tangki petak dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel yang kesemuanya bernilai lebih RM32,000 untuk siasatan lanjut.

Abd. Muis memberitahu, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama seminggu oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel dari stesen minyak menggunakan lori tersebut.

“Kami mengesyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran serbuan. Maklumat awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi sebagai tempat penyimpanan sejak dua bulan lalu,” jelasnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta Seksyen 20 (1) akta yang sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN