PETALING JAYA: Sebarang usaha untuk cuba menggagalkan atau melengahkan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti ketika ini perlu dihentikan tanpa mengira perbezaan pandangan dan fahaman politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menyifatkan, pelaksanaan RUU itu penting kerana masih ada wakil rakyat yang bertindak melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat.
Disebabkan itu, beliau menyokong gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa RUU itu perlu disegerakan.
“Mesyuarat jawatankuasa khas Parlimen sudah bermesyuarat dan difahamkan daripada kenyataan pengerusinya, hampir semua butiran telah dimuktamadkan sebelum dibentang ke Kabinet.
“Perdana Menteri sudah tentu juga mahu RUU ini diluluskan segera. Namun, diharapkan tiada dalam Kabinet yang cuba menggagal atau melengah RUU ini dari dibahas di sidang Parlimen seterusnya kerana ini isu merentas parti,” katanya ketika dihubungi.
Kata beliau, semua pihak perlu bertanggungjawab dalam mengembalikan keyakinan terhadap sistem demokrasi negara yang kian terhakis ketika ini.
“Antaranya akibat episod lompat-melompat tak henti-henti demi kepentingan peribadi, termasuk yang terbaru ini,” katanya.
Beliau mengulas mengenai tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin yang keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kemudian menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida juga meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, namun masih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Ahli Parlimen Ampang.
Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, kedudukan Zuraida sebagai menteri hanya akan ditentukan selepas pertemuan diadakan dalam masa terdekat.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek juga mahu RUU Anti Lompat Parti disegerakan demi kepentingan rakyat yang mahukan pembentukan kerajaan yang stabil.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, kerajaan yang stabil adalah perlu selepas pelbagai peristiwa politik berlaku sejak Mei 2018.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu melihat lagi isu lompat melompat parti seperti tiada kesudahannya.
“Kalau tidak ada akta ini, perbuatan lompat melompat akan terus berlaku. Dengar cerita ramai lagi yang dikatakan akan melompat. Jadi akta ini penting dan mesti diberi keutamaan. Isu berbangkit boleh diselesaikan kemudian,” katanya. – UTUSAN