Trump dijangka memperluas pengecualian tarif import

Elak ekonomi terjejas, Trump dijangka perluas pengecualian tarif import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka menilai dan memperluaskan pengecualian tarif import terhadap beberapa lagi sektor, susulan pengumuman melonggarkan beberapa daripada tarif 25 peratus ke atas kenderaan dan alat ganti kereta, kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, tempoh 90 hari penangguhan tarif perdagangan baharu ini adalah masa untuk Trump menilai semula tarif yang diumumkan sebelum ini.

Katanya, ini kerana negara tersebut bergantung kepada bekalan dari negara lain dan cukai import yang tinggi boleh menjejaskan ekonomi AS.

“AS banyak bergantung kepada barangan dari luar negara dan jika cukai import yang dikenakan terlalu tinggi, ia sudah tentu akan merencatkan lagi ekonomi di negara itu.

“Saya melihat pengecualian beberapa tarif ke atas kereta dan alat ganti kereta ini adalah satu perkembangan yang positif kepada negara ini.

“Dalam tempoh 90 hari ini adalah untuk AS dan Trump menilai kembali tarif yang mereka umumkan dan sudah ada pun pengecualian yang telah dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, AS menggunapakai cukai sistem cukai seluruh dunia iaitu mengenakan cukai ke atas rakyat dan penduduknya ke atas pendapatan mereka di seluruh dunia. 

Barjoyai berkata, Malaysia sepatutnya lebih bimbang berkaitan import negara berbanding eksport ke AS kerana perang dagang AS dan China dijangka akan memberi kesan kepada mata wang jika berterusan.

Jelasnya, ketidaktentuan dalam mata wang boleh meningkatkan kos untuk mengimport barangan dari AS ke negara ini.

“Selain itu, China mengeksport sebanyak AS$500 bilion (RM2.16 trilion) ke AS ketika ini dan mereka juga menggunakan bahan mentah dari Malaysia.

“Semua ini akan terencat jika China tidak dapat mengeksport jumlah yang sama ke AS,” ujarnya.

Pada Selasa, Trump menandatangani arahan eksekutif untuk melonggarkan beberapa daripada tarif 25 peratus ke atas kereta dan alat ganti kereta, berikutan cukai import itu mengancam untuk menjejaskan pengeluar domestik.

Menurut laporan AP, pembuat kereta dan analisis bebas telah menunjukkan bahawa tarif boleh menaikkan harga, mengurangkan jualan dan menjadikan pengeluaran AS kurang kompetitif di seluruh dunia. 

Trump menggambarkan perubahan itu sebagai penghubung ke arah pembuat kereta yang memindahkan lebih banyak pengeluaran ke AS.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN