Dividen SSPN 4.05 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

Dividen SSPN 4.05 peratus, tertinggi dalam 10 tahun

ZAMBRY Abdul Kadir (dua kiri) ketika pengumuman dividen Simpan SSPN 2024 di Putrajaya semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengumumkan kadar dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2024 sebanyak 4.05 peratus, kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kadar dividen itu memberi manfaat kepada 6.77 juta akaun pendeposit, membabitkan peruntukan sebanyak RM439.87 juta.

“Dengan agihan ini, jumlah keseluruhan dividen yang diagihkan sejak pelancaran Simpan SSPN pada 2004 kini mencecah RM2.12 bilion,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen Simpan SSPN 2024 dan Pelancaran Kempen Ganjaran Ke­setiaan Simpan SSPN Prime 2025 di Kementerian Pendidikan Tinggi di sini semalam.

Sebelum ini, PTPTN mengumumkan agihan dividen SSPN 2023 sebanyak 3.6 peratus membabitkan anggaran peruntukan RM357.65 juta.

Pendeposit boleh membuat semakan penyata simpanan ma­sing-masing melalui aplikasi myPTPTN mulai 2 Mei 2025.

Menurut Zambry, peningkatan dividen berbanding 3.6 peratus pada tahun 2023 mencerminkan kecekapan pengurusan dana PTPTN melalui pelaburan patuh syariah serta strategi kewangan jangka panjang yang mampan.

Beliau menegaskan, strategi pelaburan berhemah seperti simpanan tetap jangka panjang dan sukuk serta pengurusan risiko yang cekap, menyumbang kepada peningkatan hasil.

“Pulangan ini jauh lebih tinggi berbanding Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa yang kekal pada 3.0 peratus sepanjang 2024,” katanya.

Dalam pada itu Zambry berkata, jumlah deposit Simpan SSPN pada tahun lalu meningkat sebanyak RM24.37 juta atau 0.77 peratus iaitu seba­nyak RM3.17 bilion berbanding RM3.15 bilion (2023), manakala lebih 500,000 akaun baharu te­lah dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan deposit terkumpul sebanyak RM20.56 bilion, melibatkan 6.77 juta akaun setakat 31 Disember 2024.

Situasi berkenaan membuktikan sokongan berterusan rakyat terhadap Simpan SSPN sebagai instrumen kewangan pendidikan yang diyakini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN