PUTRAJAYA: Lawatan delegasi Malaysia ke Washington DC diketuai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz baru-baru ini membuahkan hasil yang positif.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Tengku Zafrul telah memberi laporan hasil lawatan itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet, semalam.
“Tengku Zafrul memberi laporan mengenai langkah seterusnya di mana beberapa perkara dan sektor yang akan menjadi keutamaan dalam perbincangan (tarif). Jadi kita serahkan kepada MITI untuk bincang sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini semalam.
Katanya, pada sidang khas Parlimen Isnin ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi kenyataan berhubung dasar dan pendirian kerajaan serta langkah-langkah yang akan diambil kerajaan berhubung tarif itu.
Sidang khas Parlimen pada 5 Mei ini akan memberi peluang kepada blok kerajaan dan pembangkang berkongsi pandangan mengenai tarif dikenakan Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Tengku Zafrul memaklumkan, Malaysia mengambil langkah proaktif dalam menangani isu tarif timbal balas yang diumumkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan mengemukakan empat bidang utama untuk rundingan.
Sementara itu, bercakap mengenai Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), Fahmi berkata, ia dijangka dibentangkan di Parlimen sama ada pada sidang Dewan Rakyat akan datang atau selewat-lewatnya Oktober depan.
Katanya, perkara itu dikongsi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri juga turut dimaklumkan mengenai statistik perhimpunan aman yang diluluskan dari tahun 2022 hingga 2024.
“Dalam tempoh itu, sebenarnya jumlah permohonan yang diluluskan untuk semua perhimpunan aman adalah pada kadar 99 peratus.
“Jadi hampir semua permohonan untuk perhimpunan aman telah diluluskan.Jadi ini satu angka yang bila kita teliti statistiknya adalah memberangsangkan,” katanya.
Katanya, kerajaan percaya dengan pindaan yang dibawa ke Parlimen nanti akan membolehkan hak rakyat untuk berhimpun dengan aman diperkukuh.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk meminda Akta 736 dengan mengenepikan keperluan untuk mendapat kelulusan pemilik atau penghuni perhimpunan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, dengan pindaan itu, penganjur hanya perlu menghantar notis pemberitahuan atau pemakluman kepada polis lima hari sebelum perhimpunan itu diadakan. – UTUSAN










