Tun M tiada hak persoal penyelesaian kes saman - Utusan Malaysia

Tun M tiada hak persoal penyelesaian kes saman

MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sebarang hak untuk mempersoalkan berhubung langkah penyelesaian di luar mahkamah yang diambil oleh Jabatan Peguam Negara terhadap kes saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan Malaysia.

Bekas Peguam negara, Mohamed Apandi berkata, ini berikutan Jabatan Peguam Negara yang mewakili kerajaan sudah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman yang difailkan beliau berhubung pemecatannya sebagai Peguam Negara ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Justeru beliau mendakwa, Dr. Mahathir seolah-olah mahukan perhatian selepas menimbulkan semula perkara itu, sedangkan ia sudah diselesaikan tiga minggu lalu.

“Bukan dia (Dr. Mahathir) berhak setuju (atau) tak setuju (berhubung langkah penyelesaian yang diambil) sebab ini saman terhadap kerajaan dan kerajaan sudah setuju (selesai di luar mahkamah).

“Yang mewakili kerajaan adalah Peguam Negara, kalau Peguam Negara kata macam itu, kena akur, (Dr. Mahathir) tiada hak nak persoalkan. Penyelesaian itu sudah lama, sudah tiga minggu lebih, kenapa baru timbul? (Seperti) seek attention,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri itu mengenai keperluan penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kepada umum bagi mengelakkan sebarang kegusaran awam, Mohamed Apandi berkata, sebarang kerahsiaan berhubung terma penyelesaian merupakan perkara biasa.

“Terma-terma itu adalah rahsia. Ini adalah perkara biasa, bukan di luar kebiasaan, benda-benda yang berlaku setiap hari,” jelasnya.

Pada Jumaat lepas, Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu beliau terkejut dan tidak bersetuju terhadap langkah kerajaan menyelesaikan kes saman bekas Peguam Negara itu terhadap dirinya dan kerajaan di luar mahkamah.

Selain itu, Dr. Mahathir juga mendakwa beliau tidak dimaklumkan mengenai penyelesaian yang dicapai sedangkan beliau adalah defendan dan juga saksi utama.

Dr. Mahathir berkata, kes itu sepatutnya dibawa ke mahkamah bagi menilai perkara sebenarnya yang berlaku.

Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, tindakan kerajaan memberikan pampasan kepada Mohamed Apandi juga diibaratkan sebagai pengakuan bersalah oleh kerajaan.

Kelmarin, Idrus dalam kenyataannya kepada Bernama memberitahu, beliau telah memaklumkan kepada Dr. Mahathir mengenai terma penyelesaian berkaitan saman difailkan Mohamed Apandi terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan Malaysia.

Beliau berkata, berikutan penyelesaian itu, plaintif iaitu Mohamed Apandi menarik balik tindakan undang-undangnya berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara ketika pemerintahan PH.
Idrus berkata, mahkamah kemudiannya membatalkan tuntutan plaintif tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa Tun (Dr. Mahathir) menulis baru-baru ini untuk mendapatkan maklumat mengenai syarat penyelesaian. Saya sudah menjawab untuk memaklumkan kepada beliau mengenai syarat penyelesaian,” katanya.
Pada 13 April lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 18, 20, 21 dan 22 April 2022 untuk perbicaraan kes saman terbabit.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×