Tukang cat, pelajar rugi RM47,324 terpedaya tawaran kerja sambilan

Tukang cat, pelajar rugi RM47,324 terpedaya tawaran kerja sambilan di Facebook

WAN AEIDIL WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gara-gara tertarik dengan tawaran kerja sambilan yang diiklankan di Facebook, seorang tukang cat dan seorang pelajar perempuan mengalami kerugian RM47,324 setelah diperdaya sindiket penipuan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa pertama merupakan lelaki dari Arau berusia 23 tahun telah menghantar pesanan melalui WhatsApp pada talian telefon yang tertera pada iklan tersebut bagi menanyakan kerja sambilan itu pada 7 Mei lalu.

Katanya, mangsa kemudian diarahkan untuk membuat beberapa tugasan pembelian di platform e-dagang terkemuka bagi mendapatkan keuntungan sebanyak lima peratus untuk setiap pembelian.

“Namun begitu, pembelian tersebut tidak dilakukan melalui platform terbabit, sebaliknya mangsa yang perlu membeli peralatan-peralatan elektrik yang dinyatakan suspek yang terdapat di platform terbabit.

“Namun mangsa diarahkan membuat pembayaran melalui sembilan transaksi perbankan dalam talian kepada tiga akaun individu yang diberikan suspek. Rentetan itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM39,196 wang simpanannya dan sebahagian lagi adalah wang yang dipinjam mangsa daripada rakannya,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Wan Aeidil memberitahu, seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun dari Kangar turut terpedaya dengan tawaran kerja di rumah secara dalam talian yang juga diiklankan di Facebook.

Katanya, iklan tersebut menjaminkan pendapatan lumayan antara RM2,500 hingga RM4,000.

Katanya, dalam kejadian pada 6 Mei tersebut, mangsa telah kerugian RM8,128 setelah memindahkan wang ke dalam dua akaun bank individu yang kononnya berperanan membuat pembelian pelbagai barangan dari platform e-dagang.

“Semakan melalui semakmule.rmp.gov.my mendapati sebanyak tujuh laporan polis pernah dibuat ke atas kedua-dua nombor akaun tersebut. Malangnya mangsa tidak menggunakan platform tersebut sebelum membuat transaksi dan telah menyebabkan dia menjadi mangsa penipuan tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya sedang mengesan suspek dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, mangsa penipuan tawaran kerja dalam talian di negeri ini melibatkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM182,829.62 sejak awal tahun hingga April. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN