KUALA TERENGGANU: Masalah gangguan bekalan elektrik di Pulau Perhentian Kecil bakal diatasi apabila dua unit janakuasa bergerak dibekalkan ke pulau peranginan berkenaan.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua kemudahan itu dijangka beroperasi berkuatkuasa lusa.
Katanya, setiap kali pepasangan TNB terpelantik, pasukan teknikal bertindak segera memulihkan bekalan.
“TNB memohon maaf atas kesulitan yang timbul berikutan gangguan bekalan elektrik yang berlaku beberapa kali pada 5 Mei lalu antara pukul 7.30 malam hingga 11.17 malam.
“Gangguan berkenaan disebabkan beban berlebihan berikutan kemasukan pelancong yang menginap di inap desa diusahakan oleh penduduk pulau itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysa melaporkan isu gangguan bekalan elektrik di Kampung Pulau Perhentian terutama pada musim perayaan dan cuti persekolahan dikhuatiri mampu merencatkan kerancakan sektor pelancongan di pulau peranginan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, keadaan yang berlarutan sekian lama itu sekali gus mencalarkan imej Terengganu di mata pengunjung di samping berisiko mengurangkan kemasukan orang ramai ke negeri ini.
Dalam perkembangan sama, TNB berkata, tahun lalu pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Tenaga bagi penyelesaian jangka panjang bekalan elektrik ke keseluruhan Pulau Perhentian Kecil dan Besar di samping Pulau Redang.
Katanya, cadangan itu menumpukan kepada penggunaan kaedah teknologi hijau dan hybrid bagi menggantikan janakuasa enjin diesel yang diguna pakai ketika ini.
“Jika diluluskan, cadangan itu dijangka dapat mengatasi masalah gangguan yang berlaku akibat beban berlebihan, selain menjana tenaga yang lebih mesra alam.
“Untuk makluman, TNB juga sedang membuat kajian dan semakan semula sistem pembahagian bekalan elektrik di Pulau Perhentian bagi membahagikan beban sedia ada dengan lebih baik dan stabil,” katanya. – UTUSAN










