Tiga anak muda Bandung berbasikal jelajah enam negara

Tiga anak muda Bandung berbasikal jelajah enam negara

TIGA anak muda dari Bandung, Indonesia berbasikal menjelajah enam negara bagi menyampaikan mesej kesedaran menjaga dan menyelamatkan alam sekitar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Berbekalkan RM250 atau 250,000 rupiah, tiga anak muda dari Bandung, Indonesia bertekad berbasikal menjelajah enam negara bagi menyampaikan mesej kesedaran menjaga alam sekitar.

Ekspedisi Garis Langit diketuai Kidung Saujana, 31, dan dua rakan baiknya, Fajrin Dedi, 27, serta Lana Ancala, 24, itu bermula dari Bandung sejak 25 Februari 2021.

Misi kayuhan tersebut menjelajah Indonesia selama 15 bulan diikuti seluruh Malaysia memasuki Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Pulau nang, Kedah dan tiba di Perlis sejak kelmarin yang mengambil masa 20 hari.

Selepas ini, kumpulan tersebut meneruskan misi kayuhan ke Thailand yang dijangka memakan masa 60 hari, diikuti Myanmar, India dan lokasi terakhir, Nepal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kidung yang merupakan seorang penulis buku dan lagu berkata, bagi menampung perbelanjaan sepanjang jelajah tersebut, mereka melakukan pelbagai pekerjaan sepanjang perjalanan di Indonesia.

Katanya, mereka juga melakukan busking dan menjual buku serta cenderamata selain sumbangan daripada orang ramai bagi meneruskan misi jelajah berkenaan.

“Sepanjang 16 bulan ini dengan perjalanan sudah lebih 6,000 kilometer, kami menempuh pelbagai cabaran seperti faktor cuaca tidak menentu, pengurusan dokumen yang ketat dalam tempoh pandemik ini selain masalah kerosakan basikal.

“Sepanjang jelajah tersebut, kami menyampaikan kempen selamatkan alam sekitar itu melalui penulisan, diskusi bersama anak muda dan pelbagai lagi kempen lain.

“Sebagai langkah kecil kami lakukan untuk menyeru kepada dunia kepentingan menjaga hutan-hutan di negara tersebut,” katanya ketika disambut oleh komuniti anak muda di negeri ini diketuai Amin Arawi di Lokasi Rahsia Camp Ground di sini, semalam.

Menurut Kidung, perjalanan ke Thailand dijangka pada 29 Mei ini selepas selesai segala proses dokumentasi ke negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN