KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos sanggup ‘mengorbankan’ dirinya untuk memberi laluan kepada individu lain bertanding di kawasan parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Individu tersebut adalah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dikatakan sedang mengintai beberapa kerusi parlimen untuk ditandingi pada PRU15.
Katanya, keputusan itu adalah mengambil kepentingan parti dengan meletakkan calon yang benar-benar boleh menang, bukan hanya mementingkan diri semata-mata.
“Saya memang secara terbuka kali ini untuk menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon parlimen, calon dan akan menang di parlimen. Tetapi saya bermuhasabah diri, seperti saya katakan tadi keputusan meletakkan calon adalah hak mutlak pucuk pimpinan parti. Jadi jangan hanya merebut untuk menjadi calon, tetapi yang penting adalah mesti menang. Itu yang mustahak.
“Jadi, saya hanya memikirkan kalau ikut percaturan, parti boleh melihat Tengku Zafrul boleh menang dan bukan semestinya di Sungai Besar, contohnya di kawasan Selangor atau lain-lain. Kenapa tidak kalau di Sungai Besar, nama saya tidak boleh menang, jadi bagilah kepada orang yang boleh menang,” katanya pada sidang media semalam.
Ketika ditanya adakah ‘penawaran’ ini sudah dibincang bersama Tengku Zafrul, Jamal berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan, namun dilihat secara fizikal, ia menunjukkan yang Tengku Zafrul berminat untuk bertanding di Parlimen Sungai Besar.
“Belum lagi, kalau dilihat dari segi body language, saya lihat kekerapan beliau turun ke Selangor dan mengadakan program-program , dan saya juga melihat beliau beberapa kali bersama dengan Tan Sri Noh. Jadi beliau mungkin sudah ada persefahaman di peringkat atas.
“Kita di bawah ini perlulah memberikan sokongan dan akhirnya nanti, terserah kepada pucuk pimpinan parti atau kita lihat prestasi yang bagaimana Tengku Zafrul persembahkan kepada pengundi-pengundi di Selangor.
Pada 11 Julai tahun lalu, Zafrul kelihatan di sebuah masjid di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur untuk mengagihkan bantuan sekali gus tindakan itu dipersoal ahli parlimen pembangkang, adakah ia sebagai persiapan menuju PRU15.
Bagaimanapun, kegiatan menteri kewangan itu baru-baru ini ‘dihidu’ dimana beliau dikatakan sedang mengintai kawasan di sekitar Kuala Selangor untuk ditandingi dalam pilihan raya umum akan datang.
Antara aktiviti tersebut melibatkan penyampaian bantuan kepada kumpulan rakyat susah melalui Yayasan Tengku Zafrul Aziz (TZA).
Dalam keadaan itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim sebelum ini dilaporkan menolak kehadiran Zafrul dalam mana-mana program di Parlimen kawasan tersebut.
Menurutnya, beliau telah mengeluarkan arahan kepada kesemua kepimpinan parti empat peringkat untuk tidak terlibat dengan sebarang program dengan Zafrul.
Mengulas lebih lanjut dalam hal ini, Jamal turut berkata, kehadiran Zafrul di Sungai Besar adalah sebaliknya kerana beliau akan memberikan sokongan kepada menteri kewangan itu jika berhajat untuk bertanding di parlimen berkenaan.
“Kalau bahagian lain tak nak sokong tak apa, Sungai Besar akan sokong dan tak ada masalah, asalkan Tengku Zafrul boleh membawa manfaat besar kepada UMNO Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










