LUMUT: Seorang mekanik motosikal yang melibas bapa saudaranya dengan pisau pemotong rumput sehingga maut awal pagi semalam, dipercayai berada di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan itu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampetamine atau syabu.
“Polis sudah mendapatkan kebenaran perintah tahanan reman suspek berusia 34 tahun itu selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Utusan Online melaporkan seorang lelaki maut selepas dilibas dengan pisau pemotong rumput oleh anak saudaranya di sebuah rumah di Sitiawan, dalam perselisihan antara kedua-duanya pada awal pagi.
Mangsa berusia 51 tahun yang parah di bahagian kaki kiri meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Seri Manjung (HSM).
Nor Omar berkata, siasatan awal mempercayai mangsa yang dalam keadaan mabuk bergaduh dengan suspek di hadapan rumah dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwanya memburukkan namanya dalam kalangan penduduk.
Menurut beliau, kemuncak kepada pergaduhan itu suspek didakwa mengambil mesin pemotong rumput lalu melibas ke arah kaki kiri mangsa dan mengakibatkan kecederaan serius di bahagian tersebut.
Beliau menjelaskan, semakan polis mendapati mangsa yang tidak bekerja mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah manakala suspek pula mempunyai tiga rekod lampau juga membabitkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah. – UTUSAN