PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menyemak dan mengkaji maklumat berhubung laporan melibatkan integriti pegawai Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan itu yang dibuat pihak Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Selasa lalu.
Dalam masa sama, pihaknya akan memanggil mereka yang mengemukakan laporan itu untuk memberi maklumat lanjut khususnya berkaitan isu di bawah fungsi SPRM.
“Sedang semak dan kaji (laporan), mungkin akan panggil pihak yang kemukakan laporan untuk berikan perincian khususnya berkaitan isu di bawah fungsi SPRM,” katanya di sini semalam.
Selasa lalu, Presiden Pekemas, Faizan Mohd. Nor membuat laporan SPRM atas isu berkenaan kerana dipercayai wujud pelanggaran integriti beberapa pegawai Jakim itu seolah-olah hanya memejamkan mata dan membenarkan segala salah laku berlaku tanpa pemantauan sebaiknya.
Sedangkan katanya, tindakan pemeriksaan dan pemantauan adalah di bawah tanggungjawab pegawai termasuk seorang pengurusan tertinggi jabatan berkenaan.
Menurut Faizan, SPRM akan membentangkan laporan isu tersebut dalam mesyuarat suruhanjaya itu, seterusnya melantik pegawai penyiasat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) siasatan suruhanjaya berkenaan.
Laporan itu dibuat agar SPRM dapat menyiasat salah laku dan integriti pegawai Bahagian Hab Halal Jakim dan pembongkaran isu moral dalam kalangan pegawai yang terlibat dalam kelulusan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas Thomas Food Industries (TFI).
Faizan adalah salah seorang yang mendedahkan bukti menerusi maklumat daripada pekerja rumah penyembelihan di Australia, termasuk rakaman video ketidakpatuhan yang berlaku bertahun-tahun.
Selain pendedahan sumber, bukti rakaman audio membabitkan dalang di sebalik pelanggaran protokol halal sebuah rumah penyembelihan di Australia didedahkan dalam sidang akhbar kelmarin.
Rakaman tersebut dipercayai membabitkan pegawai Jakim dan individu dikenali sebagai Mohamed Adil Rahman serta SICHMA.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya hanya menerima laporan daripada seorang pesara kerajaan berhubung isu berkenaan dan bukannya dari Pekemas.
Jelas beliau, laporan tersebut mengatakan pihak Jakim tidak menjalankan siasatan terperinci terhadap isu tersebut dan individu itu kecewa dengan tindakan Jakim yang mana telah mendedahkannya memakan daging yang tidak halal.
“(Bagaimanapun), tiada kertas siasatan dibuka bagi kes ini. Kes dirujuk kepada pihak majistret,” katanya. – UTUSAN










