Sindiket edar dadah dalam bentuk krayon tumpas

Sindiket edar dadah dalam bentuk krayon tumpas

SOFFIAN SANTONG menunjukkan pensel pewarna krayon yang diisi dengan dadah jenis syabu untuk mengelirukan pihak berkuasa yang dirampas daripada satu sindiket dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang membungkus semula dadah jenis syabu dalam bentuk krayon, tumpas selepas polis menahan seorang lelaki dalam serbuan di tepi jalan di sini, Khamis lalu.

Sindiket dadah berkenaan yang aktif sejak pertengahan tahun lalu itu dipercayai membungkus semula syabu dengan memotong bahagian bawah krayon dan mengisinya dengan dadah syabu seberat tujuh gram bagi setiap satu batang krayon.

Difahamkan, terdapat tiga parcel yang dihantar ke luar negara berisi krayon yang dimasukkan dengan syabu bernilai RM30,000 setiap satu kini ‘tersangkut’ kerana ditahan pihak berkuasa negara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong berkata, lelaki tempatan berusia 25 tahun yang merupakan seorang penganggur ditahan kira-kira pukul 11.30 malam dan  disyaki bertindak mengisi dadah jenis syabu berkenaan di dalam batang-batang krayon itu.

”Sindiket ini membungkus semula dadah syabu di dalam krayon bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

”Mereka menghantar dalam bentuk parcel satu kotak yang mengandungi 48 batang krayon kepada penerima di luar negara dan kita percaya terdapat beberapa lagi ahli sindiket ini selain daripada suspek yang ditahan polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Soffian berkata, menerusi penahanan suspek lelaki itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Lebuh Sungai Pinang di sini dan merampas dadah jenis syabu seberat 1.02 kilogram bernilai RM36,666.

”Selain itu, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 77 gram bernilai RM11,550 serta peralatan membungkus semula dadah dan sebuah kereta.

”Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh lebih 5,000 penagih dan nilai keseluruhan rampasan dadah serta sitaan adalah RM82,636,” katanya.

Tambahnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek  positif dadah dan kini ditahan reman selama enam hari bermula 12 Mei lalu untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menumpaskan makmal mini memproses serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dengan rampasan seberat 3.32 kilogram MDMA, ketamin (67.43 gram), syabu (18 gram) dan  dadah lain-lain dalam dua serbuan pada 13 dan 14 Mei lalu.

Katanya, dalam operasi itu seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah turut ditahan di tepi jalan sekitar Jelutong.

”Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di kawasan Jelutong dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk MDMA yang keseluruhannya bernilai RM213,980.

”Dadah MDMA ini dipercayai diedarkan untuk pasaran tempatan seperti di pusat hiburan dan ujian saringan mendapati suspek turut positif dadah,” katanya.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman bermula 14 Mei selama lima hari untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya