PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyiasat dakwaan peniaga mengenakan caj upah memotong ayam seperti dilaporkan media.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya memantau perkara tersebut bagi memastikan peniaga tidak mengambil peluang mengenakan caj keterlaluan sekali gus tidak berpatutan.
“Upah ini tidak termasuk harga kawalan dan kalau caj dikenakan agak berpatutan, kita terima. Kalau caj upah tidak berpatutan, misalnya RM1 untuk 1 kilogram (kg) ayam, itu agak tinggi kepada pengguna.
“Bagaimanapun, kalau RM1 caj upah untuk memotong ayam, ia boleh diterima,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KPDNHEP, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, walaupun caj upah itu tidak termasuk di dalam harga kawalan, KPDNHEP turut memantau dakwaan tersebut dalam memastikan harga ayam tidak terlalu tinggi melebihi yang ditetapkan.
“Kita kawal juga untuk menentukan harga ayam tidak boleh terlalu tinggi daripada yang ditetapkan RM8.50 untuk 1 kg. Kami akan pantau supaya tiada pihak mengambil peluang meletakkan harga tidak berpatutan.
“Sekiranya pengguna mahu ayam itu dipotong, jadi memerlukan untuk buat kerja lebih (potong ayam), bagi KPDNHEP (caj upah) boleh dibenarkan. Kuncinya adalah jangan caj terlalu besar untuk kerja tersebut dan jangan ambil kesempatan misalnya caj RM2, itu keterlaluan,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan terdapat peniaga ayam yang mengenakan caj tambahan memotong ayam RM1.10 sekilogram susulan peningkatan harga barangan mentah itu di pasaran.
Ditanya rungutan pembeli berhubung berlaku kenaikan harga tepung gandum sehingga RM3.40 untuk 1 kg termasuk di pasar raya, beliau menjelaskan harga tepung gandum bersubsidi ialah RM1.35 untuk 1 kg.
Katanya, bagi tepung yang tidak bersubsidi, harga tersebut tidak dikawal mengikut harga subsidi, namun KPDNHEP turut melakukan pemantauan menggunakan dua akta iaitu Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Kalau didapati ada pencatutan, kita menggunakan akta ini untuk mengambil tindakan. Semua ini kalau tepat aduan dan maklumatnya, jadi lebih mudah tindakan diambil kerana KPDNHEP menggunakan prosedur tertentu dan tidak boleh sembarangan serta kita adil kepada peniaga.
“Jangan kata saya membela peniaga sahaja, malah kita melindungi pengguna. Kita mesti menggunakan cara yang betul iaitu ada aduan, maklumat tepat serta secepat mungkin buat siasatan, baru tahu tindakan apa kepada mereka,” jelasnya. – UTUSAN










