Satu lagi kematian libatkan pendaki di Perak

Satu lagi kematian libatkan pendaki di Perak

SAARANI Mohamad (depan) menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perhutanan Perak di Taman Eko Rimba, Kledang Saiong, Meru di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki berusia 66 tahun meninggal dunia dipercayai akibat keletihan ketika mendaki Gunung Yong Belar yang terletak di sempadan Perak-Kelantan, malam semalam.

Ia adalah kejadian terbaharu melibatkan kematian pendaki di negeri ini selepas dua pendaki wanita dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, empat hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejadian terbaharu di Gunung Yong Belar itu melibatkan pendaki dari Selangor yang memulakan pendakian semalam dari Hulu Kinta dalam kumpulan 14 pendaki.

Beliau berkata, mangsa dipercayai keletihan dan meninggal dunia di puncak gunung pada kira-kira pukul 830 malam semalam.

“Seramai 11 rakan mangsa turun dengan selamat manakala dua lagi masih berada di puncak gunung bersama mayat mangsa. Laporan polis kejadian itu dibuat di Lojing, Kelantan dan operasi membawa turun mayat mungkin menggunakan helikopter kerana untuk sampai di lokasi mangsa mengambil masa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perhutanan Perak di Taman Eko Rimba, Kledang Saiong, Meru di sini hari ini.

Saarani berkata, berikutan satu lagi kes kemalangan jiwa melibatkan pendaki di negeri ini, kawasan rekreasi hutan simpan di bawah Jabatan Perhutanan negeri ditutup berkuasa kuasa serta merta sehingga keadaan cuaca sesuai untuk aktiviti mendaki.

“Saya telah berbincang dengan Jabatan Perhutanan negeri supaya kawasan rekreasi di kawasan hutan simpan ditutup buat sementara waktu berikutan kejadian yang bertimpa-timpa, peristiwa yang sama berlaku melibatkan pendaki.

“Kawasan rekreasi di negeri ini ditutup sementara supaya orang ramai tidak sewenang-wenangnya memasuki kawasan berkenaan,” katanya.

Menurut Saarani, pendaki perlu memohon permit khas untuk aktiviti pendakian di negeri ini dan memberikan maklumat mengenai jadual keluar dan masuk di satu-satu kawasan pendakian.

Bagaimanapun, katanya, terdapat pendaki yang masuk ke kawasan rekreasi tidak mengikut jadual, menyebabkan pihak berkenaan tidak tahu apa berlaku terhadap pendaki.

“Kita akan tengok balik prosedur operasi standard (SOP) ini untuk mengawal kejadian ini daripada berulang. Mungkin juga kita kena kuatkuasakan malim gunung seperti di Gunung Kinabalu kerana mereka pakar laluan mendaki,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya