Sabah komited perluas kawasan perlindungan di daratan dan laut

Sabah komited perluas kawasan perlindungan di daratan dan laut

JEFFREY Kitingan (dua kanan) dan Jafry Ariffin (dua kiri) bersama dengan Dr. Grethel Aguilar (kanan) dan Madhu Rao (kiri) semasa perasmian Kongres Taman Asia di Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah berada di landasan yang tepat dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan memperluaskan kawasan perlindungan taman di daratan dan lautan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, selaras dengan matlamat SDG, setiap kerajaan perlu mempunyai 30 peratus kawasan dilindungi sama ada di daratan mahupun lautan menjelang 2030.

Inisiatif ini menyarankan semua kerajaan di seluruh dunia untuk meningkatkan usaha konservasi di kawasan yang belum dilindungi bagi memastikan negara tidak kehilangan kepelbagaian bio, melindungi ekosistem dan mampu berhadapan denan perubahan iklim.

“Pada masa ini, Malaysia antara 12 negara yang mempunyai kepelbagaian bio yang terbesar di dunia yang menempatkan 15,000 spesies tumbuhan, 306 spesies mamalia, 742 spesies burung serta 1,619 spesis ikan air masin.

“Sabah dan Sarawak juga kaya dengan hutan hujan tropika yang menjadi rumah kepada 291 spesies pokok dipterocarps’,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Taman Asia Kedua yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Alam Sekitar IUCN), Dr. Grethel Aguilar dan Pengerusi Suruhanjaya Kawasan Perlindungan IUCN Sedunia, Madhu Rao.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah komited memastikan inisiatif yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di bawah SDG mampu dicapai.

Justeru, pada masa ini, dua lagi taman marin di Sabah sedang dalam proses pewartaan iaitu Taman Pulau Mantanani, Kota Belud dengan kawasan seluas 196,998 hektar dan Taman Teluk Darvel, Lahad Datu dengan kawasan seluas 103,393 hektar.

Di samping itu katanya, Sabah juga merancang memperluas kawasan taman di bawah UNSDG15 dengan menjadikan tanah tinggi Long Pasia sebagai taman teresterial.

Jafry berkata, kawasan yang dilindungi di Sabah membabitkan kawasan seluas 1.9 juta hektar atau 25 peratus daripada kawasan hutan di negeri ini. Menjelang 2025, Sabah menyasarkan untuk mencapai 30 peratus kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA).

Maka, pada tahun 2025, Sabah harap dapat mewartakan tambahan kawasan seluas 1.026 juta hektar agar sasaran 30 peratus TPA itu mampu dicapai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya