fbpx

28 Jun 2022, 7:11 am

  TERKINI

Remaja mandi di kolam terbiar ditemukan lemas

MAYAT Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi,  yang ditemukan lemas di kolam terbiar di Mergong, Alor Setar, Kedah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Sekumpulan remaja hanya mampu melihat rakan mereka terkapai-kapai sebelum lemas dalam sebuah kolam terbiar berhampiran sebuah pasar raya besar di Mergong, dekat sini semalam.

Mangsa, Muhammad Hadwan Iman Abdul Hadi, 17, disahkan meninggal dunia apabila jasadnya ditemukan kira-kira pukul 10.49 malam oleh sepasukan anggota bomba, iaitu kira-kira empat jam selepas mangsa dilaporkan lemas.

Menurut rakannya, Muhammad Yazid Mohd. Marwan, 15, ketika kejadian dia bersama lima rakan termasuk mangsa sedang mandi-manda di kolam terbiar tersebut.

“Sewaktu kami mandi, mangsa menaiki tong polisterin yang dijadikan seperti pelampung kerana dia tidak tahu berenang. Pada mulanya dia kelihatan seronok menaiki tong tersebut namun pada satu ketika, tong tersebut dimasuki air.

“Ketika itulah keadaan berubah panik dengan dia mula tenggelam. Kami nampak dia terkapai-kapai meminta tolong namun akhirnya dia tenggelam,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, beberapa rakan cuba menyelamatkan mangsa namun mereka terpaksa berpatah balik kerana airnya dalam.

“Saya kemudian  pulang ke kawasan rumah kami di Flat Seri Gemilang dekat sini untuk memberitahu perkara itu kepada bapa mangsa sebelum kami sama-sama ke kolam itu semula,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kawasan kolam terbiar itu tidak berpagar dan sering dijadikan lokasi memancing.

“Terdapat papan tanda melarang orang ramai mandi di kolam tersebut namun difahamkan, lokasi itu sering dikunjungi individu tertentu untuk mandi. Jasad mangsa yang ditemukan kira-kira pukul 10.49 malam oleh bomba dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI