PETALING JAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersyukur dan gembira kerana masjid di seluruh negara dipenuhi jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ahli keluarga dan sahabat handai.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu setelah ahli keluarga dan sahabat handai dapat pulang ke kampung selepas dua tahun tidak dapat beraya kerana Covid-19.
Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat Malaysia untuk memandu dengan cermat ketika perjalanan pulang ke kampung agar dapat bertemu dengan ahli keluarga dan sanak-saudara.
“Marilah kita ambil keberkatan bulan Syawal untuk kita bermaaf-maafan dan merapatkan ukhuwah Keluarga Malaysia,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan beliau mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.- UTUSAN