Pulau Pinang cari mekanisme bantu kurangkan kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang

Pulau Pinang cari mekanisme bantu kurangkan kes bunuh diri di Jambatan Pulau Pinang

MARITIM Malaysia menyifatkan kejadian terjun dari Jambatan Pulau Pinang yang semakin kerap berlaku ketika ini sebagai satu perkembangan atau trend terkini yang tidak sihat dan amat membimbangkan.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pakar serta agensi berkaitan untuk mencari mekanisme membantu mereka yang mengalami masalah dalam kehidupan supaya tidak menjadikan Jambatan Pulau Pinang sebagai tempat membunuh diri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha itu digerakkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh yang turut membincangkan perkara itu bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta profesional dalam bidang perubatan di negeri ini.

”Kes semakin meningkat dan kita tidak mahu trend ini berterusan.

”Mungkin dengan cara tidak melaporkan kes-kes sebegini di media sosial adalah lebih baik kerana mungkin dapat membantu mengurangkan kes atau keinginan untuk membunuh diri di jambatan.

”Kita tidak boleh dilihat menggalakkan orang yang mempunyai masalah untuk menjadikan bunuh diri di jambatan sebagai jalan penyelesaian,” katanya selepas menghadiri majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri di Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), di sini hari ini.

Difahamkan, sepanjang bulan ini sahaja direkodkan sudah berlaku lapan kejadian terjun dan cubaan terjun dilaporkan di jambatan tersebut atau sebanyak 12 kes sepanjang tahun ini.

Terbaharu, dalam tempoh kurang 24 jam kelmarin, dua kejadian terjun membabitkan dua wanita dengan salah seorang berjaya diselamatkan nelayan tempatan manakala seorang lagi belum ditemukan.

Dalam kejadian kelmarin, seorang wanita berusia 27 tahun  terjun di Kilometer (KM) 7.4 jambatan itu dari arah pulau menghala ke Perai kira-kira pukul 2.40 petang.

Bagaimanapun, wanita yang pergi ke jambatan itu dengan menunggang motosikal KTNS Rhino 125 berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada berdekatan.

Kurang 12 jam kemudian iaitu pada  pukul 3 pagi semalam pula, seorang lagi wanita berusia 22 tahun terjun di KM 8 jambatan itu selepas meninggalkan kereta jenis Perodua Axia dan barangan peribadinya di atas jambatan.

Pada Sabtu lalu, seorang wanita berusia 43 tahun  cuba  terjun di KM 3.4 jambatan itu dalam kejadian kira-kira pukul 3.35 petang dengan video kejadian itu tular di  media sosial.– UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya