SABAK BERNAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo mengesahkan bertanding Parlimen Sungai Besar dan bercita-cita mahu mengembalikan semula kerusi tersebut kepada UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu berkata, beliau yakin dengan penerimaan dan sokongan kuat masyarakat tempatan terhadapnya.
“Niat saya (bertanding) kerana mahu memastikan kemenangan parti (UMNO) dan bukannya ada tujuan lain.
“Namun, saya menyerahkan keputusan itu kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti,” katanya pada majlis Jamuan Aidilfitri di kediamannya di Simpang Lima, Sungai Besar di sini semalam.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan nama Mohamad Khir turut disebut-sebut sedang berusaha untuk kembali ke dunia politik, malah beberapa gerak kerja sudah dijalankan untuk mendekati rakyat.
Bagaimanapun, Mohamad Khir, 56, menyerahkan kepada pimpinan parti untuk menentukan jika beliau diberi lampu hijau oleh pimpinan parti untuk bertanding memandangkan terdapat dakwaan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berhasrat merebut kerusi tersebut.
“Saya tidak mahu komen kerana tidak pernah berjumpa Tengku Zafrul. Namun, saya ingin tegaskan jika beliau terpilih (bertanding), kita perlu pastikan kerusi itu menang,” katanya.
Dalam pada itu, mengukuhkan lagi hasrat tersebut beliau juga menyatakan mahu merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos. – UTUSAN










