Polis buka KEP susulan tular video polis trafik kasari pengguna jalan raya 

Polis buka KEP susulan tular video polis trafik kasari pengguna jalan raya 

TANGKAP layar mengenai insiden video tular melibatkan polis trafik yang didakwa mengasari pengguna jalan raya di SJR di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang membuka kertas enkuiri polis (KEP) bagi menyiasat kes melibatkan polis trafik yang didakwa mengasari pengguna jalan raya di sekatan jalan raya (SJR) di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi semalam.

“Dalam kes ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang telah membuat satu laporan polis bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah KEP dan setelah selesai siasatan dilakukan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial semalam, seorang lelaki dilihat dipukul oleh anggota polis trafik ketika SJR dijalankan di kawasan Bukit Mertajam.

Rakaman insiden berkenaan mendapat kecaman daripada pengguna media sosial yang mendakwa anggota polis sengaja mengasari lelaki itu.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan daripada pemilik akaun Facebook ‘Penang My Hometown’ berhubung video yang tular tersebut.

“Selain itu, kita juga akan mengesan mangsa yang masih gagal hadir untuk membuat laporan kes tersebut.

“Sehingga siasatan selesai kesemua pegawai dan anggota trafik yang terlibat telah dilucutkan sementara daripada tugas hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran,” katanya.

Tambahnya, siasatan insiden itu akan dijalankan dengan adil dan telus bagi memberi keadilan kepada semua pihak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN