KUALA LUMPUR: Kos sara hidup dan bekalan barang menjadi dua fokus yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet yang dipercepat ke hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta mesyuarat itu dipercepat kerana banyak isu melanda negara khususnya kos sara hidup yang dijangka meningkat kesan masalah global sejak kebelakangan ini.
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta membentangkan perancangan jangka pendek dan panjang dalam mesyuarat tersebut.
“Penawaran bahan makanan mungkin terjejas teruk khusus-nya gandum kerana satu pertiga bekalan dikeluarkan dari Russia dan Ukraine serta beberapa negara menyekat eksport untuk kegunaan mereka. Sudahlah sebelum kita ini dilanda pandemik.
“Jadi daripada teori ekonomi jika permintaan lebih penawaran, tentu harga meningkat.
“Jadi Isnin (hari ini) saya panggil mesyuarat Kabinet khusus bagaimana hendak kita mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini,” katanya.
Lazimnya, mesyuarat mingguan Kabinet berlangsung setiap Rabu manakala hari Jumaat pula sepanjang Sidang Dewan Rakyat berlangsung.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menghapuskan lebih banyak lesen import (AP) selain makanan bagi mengurangkan tekanan akibat kekurangan bekalan .
Beliau berkata, malah langkah itu secara tidak langsung dapat mengurangkan harga barangan.
“Saya dah umumkan AP dihapuskan, saya melihat kemungkinan lebih banyak AP sedang dikaji untuk dihapuskan.
“Kita berharap apabila AP dihapuskan, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan daripada kekurangan supply (penawaran) jika banyak pihak terlibat terlibat, harga mungkin dapat dikurangkan. Tetapi kita tunggulah kesannya,” katanya.
Minggu lalu, beliau mengumumkan keperluan menghapuskan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta, sebagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha rentas kementerian adalah teras dalam usaha pihaknya bagi menangani isu kos sara hidup dan bekalan barang.
“Inti pati ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet esok seperti diarahkan Perdana Menteri,’’ katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mesyuarat hari ini akan menentukan langkah intervensi kerajaan dalam merungkai isu barangan keperluan harian, khususnya bekalan ayam demi memastikan sebarang usaha penyelesaian tidak dilaksanakan secara ‘silo’ dan tiada kesinambungan.
“Keputusan Jemaah Menteri memansuhkan permit import (AP) memang bertepatan dengan hasrat untuk menjamin kelangsungan bekalan dan memberi kelebihan kepada pengguna.
“Bagaimanapun, pemansuhan AP itu mengambil masa untuk ia memberi kesan positif kepada pengguna kerana ia bergantung kepada berapa cepat proses perolehan dilakukan, pensijilan halal, pemeriksaan kastam dan sebagainya,’’ katanya. – UTUSAN










