Jangan hanya sekadar merakam

Jangan hanya sekadar merakam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebelakangan ini, semakin banyak kes kelakuan tidak senonoh dalam pengangkutan awam terhadap golongan wanita menjadi perhatian selepas rakaman kejadian tular di media sosial.

Ada yang dirakam melakukan perbuatan mengganggu penumpang, ada yang bertindak kurang sopan dan tidak menghormati ruang peribadi orang lain.

Lebih membimbangkan, kebanyakan kejadian itu hanya mendapat perhatian selepas video berkenaan tersebar dan menjadi bualan netizen.

Seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam era media sosial hari ini iaitu tular dahulu, barulah tindakan diambil.

Tidak dinafikan, media sosial mempunyai kuasa besar untuk membuka mata masyarakat terhadap sesuatu isu. Rakaman orang awam juga kadangkala membantu pihak berkuasa mengenal pasti kejadian dan individu terbabit.

Namun, jangan sampai kita terperangkap dalam budaya sekadar merakam.

Pengangkutan awam bukan milik kita seorang. Setiap hari, bas, tren, komuter dan perkhidmatan pengangkutan lain digunakan oleh ribuan orang daripada pelbagai latar belakang. Ada yang pergi bekerja, ke sekolah, ke hospital atau sekadar mahu pulang ke rumah.

Justeru, apabila berlaku kelakuan tidak senonoh atau gangguan, sudah tentu ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa, marah malah trauma kepada mangsa dan penumpang lain.

Sebab itu, jika ternampak kejadian seumpama ini, jangan hanya keluarkan telefon untuk merakam dan kemudian memuat naiknya ke media sosial demi tontonan netizen. Jika keadaan mengizinkan, bantu mangsa dan laporkan segera kepada pihak yang bertanggungjawab.

Tular itu tidak salah jika rakaman berkenaan dapat membantu mengenal pasti pelaku. Namun, ia sepatutnya berjalan seiring dengan tindakan yang berkesan, bukannya menjadi matlamat akhir.

Cuba bayangkan jika suatu hari nanti kita pula menjadi mangsa. Sudah tentu kita mahu orang di sekeliling membantu dan pihak berkuasa mengambil tindakan segera.

Masyarakat perlu berani bertindak, bukan sekadar menjadi penonton. Media sosial boleh menjadi saluran untuk membuka mata, tetapi tindakan sewajarnya tetap perlu menjadi keutamaan.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×