SEMPORNA: Orang ramai dijemput meraikan Hari Raya Aidilfitri di kediaman Perdana Menteri di Laman Sari, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya sempena penganjuran rumah terbuka pada 8 Mei ini.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook Perdana Menteri hari ini berkata, jemputan berkenaan bagi mengeratkan lagi hubungan sesama Keluarga Malaysia.
“Seluruh Keluarga Malaysia dijemput hadir bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.
“InsyaAllah banyak juadah enak disajikan, untuk Keluarga Malaysia yang tersayang.
Kita jumpa nanti ya,” katanya di Facebook rasminya sebentar tadi.
Semalam, Ismail Sabri mengiringi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, di ibu negara.
Perdana Menteri turut bersyukur dan gembira apabila melihat masjid-masjid di seluruh negara pagi semalam dipenuhi jemaah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarga dan sahabat setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.
“Jika ada yang dalam perjalanan pulang ke kampung, pandulah dengan cermat agar dapat bertemu dengan ahli keluarga dan sanak saudara.
“Marilah kita ambil keberkatan bulan Syawal untuk kita bermaaf-maafan dan merapatkan ukhuwah Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri semalam.- UTUSAN