KUANTAN: Tiga penyelidik Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Muadzam Shah, Rompin, dekat sini mewujudkan Sistem Aplikasi Penilaian Awal Glaukoma (GDC) sebagai langkah pencegahan dan rawatan susulan glaukoma yang boleh merosakkan saraf optik mata serta menyebabkan hilang penglihatan dan risiko buta.
Kerosakan glaukoma yang berlaku kepada saraf mata tidak dapat dipulihkan, jadi apa yang hilang ataupun rosak tidak dapat kembali sempurna.
Memahami hakikat itu, pasukan penyelidik Uniten diketuai Siti Fara Fadila Abd. Razak menghasilkan GDC, sistem elektronik yang dibangunkan khas untuk Persatuan Glaucoma Malaysia (MGS) serta jabatan-jabatan kesihatan khususnya di seluruh negara untuk mengenal pasti lebih awal terhadap kes kes yang melibatkan glaukoma.
Ke arah slogan ‘Sayangi Mata Anda’, GDC juga mampu menjadi rujukan utama di seluruh dunia bagi menangani kadar jangkaan sebanyak 114.8 juta jumlah pesakit Glaucoma pada 2040.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Siti Fara Fadila berkata, sistem GDC memberi satu bentuk peringatan awal kepada masyarakat umum tentang kadar kesihatan khususnya merujuk kepada tanda tanda awal glaukoma.
Sistem GDC, katanya, bagi meyakinkan masyarakat berkaitan kepentingan pengesanan awal terhadap tahap penglihatan glaukoma dan rawatan susulan bagi memberi harapan pesakit untuk terus berjuang membanteras kesan penyakit tersebut yang memberi impak besar kepada penglihatan dan proses kehidupan sejagat.
“Glaukoma adalah satu penyakit yang tidak boleh dipulihkan semula, justeru dengan ada GDC mampu memberi harapan dan pengesanan awal ke arah bebas glaukoma. GDC juga menitikberatkan slogan ‘Anytime Everywhere’ yang mana sistem ini boleh diakses dengan mudah pada bila bila masa dan di mana-mana sahaja.
“Ia sekali gus memberi satu kelebihan kepada sistem GDC dalam menawarkan pelbagai kebaikan dan kelebihan bermula dari segi menyahut saranan kerajaan terhadap inisiatif hijau melalui pengurangan kegunaan kertas sehinggalah menjaminkan satu jaringan sistem yang kompleks dan mencapai tahap standard yang ditentukan.
“Dari segi nilai novelti, GDC dijangka menjadi sistem aplikasi yang pertama dilaksanakan di MGS serta jabatan-jabatan kesihatan khususnya di seluruh Malaysia menjadi satu model yang dibolehguna pakai di setiap jabatan-jabatan Kesihatan seluruh dunia,” katanya di sini semalam.
Glaukoma adalah penyakit mata yang menyebabkan kerosakan pada saraf optik. Saraf optik merupakan laluan yang membawa imej yang dilihat ke otak.
Sekiranya tidak dirawat, ia boleh merosakkan saraf optik secara perlahan-lahan sehingga mengakibatkan kebutaan yang kekal.
Di Malaysia, glaukoma adalah penyebab kebutaan yang ketiga (tujuh peratus) iaitu selepas katarak (58 peratus) dan diabetes (10 peratus) berdasarkan National Eye Survey 2014.
Siti Fara Fadila berkata, GDC dipertingkat dengan sistem yang bersepadu dalam masa sama menjamin proses yang menjanjikan kebolehgunaan dan dilindungi daripada segala bentuk penipuan.
Sistem ini juga, katanya, dibina untuk membantu masyarakat membanteras gejala penipuan terhadap derma terutama yang melibatkan pesakit kanser yang semakin berleluasa.
“Satu keunikan sistem GDC adalah dapat menghasilkan menu paparan untuk profil terkini pesakit glaukoma yang berdaftar dengan sistem ini. Dengan memasukkan no ID pengguna sistem ini akan menghasilkan maklumat yang telus berkaitan status sebenar pesakit.
“Justeru, sistem GDC ini membantu ke arah pembanterasan wang kutipan derma yang tidak sahih atau kepada pesakit Glaukoma yang tidak wujud dan berdaftar,” jelasnya.
Beliau berkata, GDC memainkan peranan penting dan sebagai sebuah alat instrumen untuk memastikan ketelusan dan nilai integriti yand praktikkan secara adil di setiap MGS serta jabatan-jabatan kesihatan khususnya di seluruh negara.
“Nilai ini akan meningkatkan nilai kebolehpercayaan dan mempertingkat hubungan positif bukan hanya dari segi servis yang ditawarkan malah terhadap pegawai yang dipertanggungjawabkan dalam menguruskan proses-proses yang terlibat,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, sistem GDC akan diperkenal dan dibentangkan buat julung kalinya di Pameran Antarabangsa Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2022 (ITEX) di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada 26 Mei ini. – UTUSAN










