Penjual mi celup RM9 sebungkus dikompaun, diberi notis  - Utusan Malaysia

Penjual mi celup RM9 sebungkus dikompaun, diberi notis 

PEGAWAI penguat kuasa KPDNHEP Tanah Merah melakukan pemeriksaan di Pasar Besar Tanah Merah berhubung aduan mi celup dijual RM9 sebungkus.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang penjual mi celup yang didakwa menjual makanan itu pada harga RM9 sebungkus diberi kompaun  dan notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tanah Merah semalam. 

KPDNHEP memeriksa premis yang terletak di Pasar Besar Tanah Merah selepas kejadian itu tular di laman Facebook ‘Tanah Merah di Hatiku’. 


TANGKAP layar isu mi celup RM9 sebungkus yang tular di laman sosial Facebook Tanah Merah di Hatiku sehingga mendapat perhatian KPDNHEP Tanah Merah semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Tanah Merah, Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, peniaga wanita berusia 33 tahun itu mengakui kejadian tular membabitkan mi celup berharga RM9 sebungkus itu melibatkan gerai miliknya.

Sehubungan itu, menurut beliau,  peniaga berkenaan diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan AntiPencatutan 2011. 

“Melalui notis itu kita bagi tempoh dua hari untuk peniaga itu menjawab dan menyatakan alasan berhubung isu itu. 

“Kita juga turut mengeluarkan kompaun kerana tidak meletakkan tanda harga di bawah Perenggan 5 Perintah Kawalan Harga dan AntiPencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu penjual mi celup ‘cekik darah’ tular di laman Facebook ‘Tanah Merah Dihatiku’ selepas seorang pelanggan membuat aduan mengenai harga sebungkus mi celup dibelinya RM9. 

Pengadu mendakwa, dia membeli lapan bungkus mi celup dengan harga keseluruhan RM72 dan tidak berpuas hati kerana kebiasaannya, sebungkus mi celup biasa dijual sekitar RM5 sebungkus atau RM7 sebungkus bagi mi celup ‘special’.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya