Pengunjung, MPM tidak puas hati tandas awam Teluk Batik

Pengunjung, MPM tidak puas hati tandas awam Teluk Batik

KEADAAN dalam salah satu daripada tiga bangunan tandas awam di pantai Teluk Batik, Lumut yang menjadi rungutan pengunjung. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Penyelenggaraan tandas yang tidak sempurna tandas awam Teluk Batik dekat sini menjadi rungutan pengunjung ke pantai peranginan tersebut.

Rungutan itu diluahkan dalam Facebook oleh pemilik akaun Abdaziz Aziz hari ini yang kemudiannya menerima komen daripada beberapa pengunjung lain yang turut menyuarakan perkara sama.

Abdaziz Aziz menyatakan mahu menggunakan tandas awam di pantai tersebut tetapi kemudian melupakan hasrat itu kerana mendakwa ia berada dalam keadaan terlalu kotor.

Sambil menyatakan bukan mahu memfitnah sesiapa, beliau kesal dengan keadaan itu kerana tandas awam itu berbayar dan meminta Majlis Perbandaran Manjung (MPM) mengambil berat isu tersebut kerana ia menjejaskan imej pantai peranginan itu.

Luahan itu disambut oleh Norzila Yusoff yang menyatakan keadaan tandas kotor manakala cermin dalam bangunan itu sudah kabur dan mendakwa ia antara sebab ramai pengunjung yang menukar pakaian di tepi pantai dan bukan dalam tandas awam.

Nurul Aien Abdul turut bersetuju dengan menyatakan perasaan menyesal masuk ke tandas ketika berkunjung ke pantai itu pada hari Ahad lalu.

Tinjauan di situ pula mendapati terdapat tiga bangunan tandas awam di pantai tersebut dengan semua empat tandas lelaki di sebuah bangunan tidak boleh digunakan dan kelihatan banyak pasir di lantai bilik mandi yang terdapat di situ manakala tandas wanita ditutup.

Sementara di sebuah lagi bangunan tandas awam, tiga daripada empat tandas lelaki tidak boleh digunakan. Bagaimanapun, kelihatan petugas sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di semua tandas tersebut tengah hari tadi.

Sebuah lagi bangunan tandas awam pula didapati dalam keadaan bersih dan semua tandas awamnya boleh digunakan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pihaknya turut tidak berpuas hati dengan keadaan kebersihan tandas awam yang dikendalikan oleh pihak swasta di pantai tersebut.

“Sebenarnya kami tengah uruskan untuk mengambil alih (semula tandas awam itu) dari operator, memang gagal (dalam pengendalian tandas awam itu),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, pihaknya sedang mengkaji perjanjian kontrak dengan pihak terlibat dan mungkin akan dibatalkan jika masih dalam tempoh kontrak berikutan memberi perkhidmatan yang tidak memuaskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya