Pemohon kecewa projek RMR terbengkalai

Pemohon kecewa projek RMR terbengkalai

JAMIAH Isnin menunjukkan rumah miliknya hanya siap 50 peratus di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pemohon Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah dekat sini kecewa apabila rumah yang sepatutnya boleh diduduki sebelum Syawal, gagal disiapkan pemaju.

Mereka yang menunggu antara dua hingga tiga tahun mendakwa, kontraktor dilantik SPNB menghilangkan diri dan sehingga kini kemajuan pembinaan premis tersebut hanya sekitar 50 peratus.

Seorang pengawal keselamatan, Jamiah Isnin, 52, berkata, dia bersama adiknya memohon RMR itu sebelum wabak Covid-19 melanda negara, namun sehingga kini ia belum boleh diduduki.

Katanya, SPNB ketika dihubungi menjanjikan bahawa rumah siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu tetapi sejak sebelum Ramadan tiada langsung kerja-kerja dijalankan kontraktor terlibat.

“Tengoklah dinding rumah sudah siap tetapi selebihnya tidak ada kerja-kerja dijalankan. Saya sudah penat menunggu sejak sebelum Covid-19 melanda hingga kini, apa pun tak nampak sebarang perkembangan.

“Jika saya berkemampuan, saya tidak serahkan geran tanah dan terikat dengan syarat-syarat kelayakan serta bayaran permohonan RMR. Tetapi inilah cabaran yang dihadapi dan ia mengecewakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang ibu tunggal, Norfatiah Ibrahim, 40, pula berkata, rumahnya yang bernilai sekitar RM80,000 terbiar dan tergendala sejak penghujung tahun lalu.

“Sedih melihat rumah sendiri dibina atas tapak tanah keluarga yang saya idamkan belum siap. Saya dan tiga anak yang masih bersekolah terpaksa menumpang sementara di rumah emak. Tapi sampai bila?” soalnya.

Seorang suri rumah, Zainon Othman, 52, pula merayu campur tangan kerajaan bagi membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, aduan sudah dipanjangkan kepada SPNB tetapi jawapan yang diberikan tidak meyakinkan.

“Rumah saya seperti pemohon lain, hanya dinding yang sudah naik. Bertahun juga keadaan rumah seperti itu.

“Tak tahulah bila rumah ini nak disiapkan, sudah dua kali Aidilfitri saya lalui dengan perasaan hampa,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya