PUTRAJAYA: Pelantikan menteri adalah hak prerogatif Perdana Menteri sepertimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, hak tersebut perlu dihormati semua pihak dan soal siapa yang akan menggantikan tempat Datuk Zuraida Kamaruddin perlu diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil membidas kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan yang menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menamakan calon yang sesuai dalam kalangan pemimpin Bersatu, beliau berkata, Perdana Menteri sekarang adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Justeru, kata Ahli Parlimen Rembau itu, mana-mana pihak tidak perlu memberikan tekanan kepada Perdana Menteri.
“Pelantikan menteri adalah prerogatif Perdana Menteri. Perdana Menteri sekarang adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Prerogatif PM mesti dihormati semua pihak.
“Tak perlu pihak lain memberi tekanan kepada PM. Biar pelantikan Menteri ditentukan oleh PM sahaja,” katanya di sini malam ini.

Terdahulu, Wan Saiful dalam kenyataanya menerusi Facebook memaklumkan Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional dijangka menamakan calon yang sesuai bagi menggantikan ahli Parlimen Ampang itu dalam Kabinet.
Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengumumkan tindakan keluar parti itu selepas membuat pertimbangan yang mendalam dan mempercayai dengan perjuangan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang berteraskan enam prinsip utama.

Zuraida turut menjelaskan yang beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri. – UTUSAN