WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mula menghantar surat kepada negara-negara rakan dagangnya bermula Isnin ini bagi memaklumkan pelaksanaan tarif baharu serta perjanjian perdagangan, kata Presiden Donald Trump.
Trump memaklumkan surat rasmi berkenaan akan dihantar kepada “pelbagai negara di seluruh dunia” bermula tengah hari Isnin (1600 GMT), menurut kenyataannya di platform Truth Social.
Langkah ini susulan keputusan pentadbirannya sebelum ini yang menetapkan kadar tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas hampir semua rakan dagang AS pada April lalu.
Tarif balas yang lebih tinggi turut dirancang terhadap negara-negara tertentu berdasarkan jumlah defisit perdagangan mereka dengan AS.
Bagaimanapun, pelaksanaan tarif balas itu telah ditangguhkan selama 90 hari, yang akan berakhir pada 9 Julai.
Dalam hantaran berasingan, Trump turut mengumumkan tarif tambahan sebanyak 10 peratus akan dikenakan terhadap “mana-mana negara yang sehaluan dengan dasar anti-Amerika yang dibawa oleh BRICS”.
“Tiada sebarang pengecualian akan diberikan terhadap dasar ini. Terima kasih atas perhatian anda!” kata Trump
Gabungan BRICS yang asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan kini telah diperluas dengan penyertaan Iran, Mesir, Ethiopia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu pada awal 2024, diikuti Indonesia yang menyertai pada 2025.









