LAUT MERAH: Anak kapal sebuah kapal kargo berbendera Liberia dan milik syarikat Greece terpaksa meninggalkan kapal selepas ia diserang dan terbakar dalam satu kejadian di perairan Laut Merah pada Ahad, menurut agensi maritim Britain.
Serangan yang berlaku kira-kira 94 kilometer (51 batu nautika) barat daya pelabuhan Hodeidah, Yemen itu adalah insiden pertama seumpamanya di laluan perkapalan strategik tersebut sejak April lalu.
Menurut Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), kapal jenis bulk carrier bernama Magic Seas telah diserang oleh beberapa bot kecil yang melepaskan tembakan menggunakan senjata ringan dan pelancar bom tangan.
Serangan itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan serius pada kapal termasuk kemasukan air memaksa semua anak kapal meninggalkan kapal sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal dagang yang kebetulan melalui kawasan tersebut.
“Kesemua anak kapal selamat dan berada dalam keadaan baik,” menurut UKMTO dalam kenyataan.
Setakat ini, belum ada mana-mana kumpulan yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Sementara itu, syarikat keselamatan maritim swasta British, Ambrey dalam satu makluman berasingan menyatakan bahawa kapal tersebut diserang oleh empat kenderaan permukaan tanpa pemandu (USV).
“Dua daripada USV tersebut menghentam bahagian kiri kapal dan menyebabkan kerosakan pada kargonya,” kata Ambrey.
Walaupun tiada pengesahan rasmi, Ambrey menyatakan corak serangan tersebut mirip kepada taktik yang digunakan oleh kumpulan Houthi di Yemen.
Kumpulan Houthi yang menguasai sebahagian besar wilayah Yemen mula menyerang kapal-kapal dagang di Laut Merah sejak tercetusnya perang Israel-Gaza pada Oktober 2023. Mereka mendakwa serangan itu adalah sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza yang terus dibelenggu sekatan dan serangan Israel.










