Israel keluarkan 54,000 notis wajib ketenteraan kepada pelajar ultra-Ortodoks - Utusan Malaysia

Israel keluarkan 54,000 notis wajib ketenteraan kepada pelajar ultra-Ortodoks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel akan mengeluarkan 54,000 notis seruan wajib kepada pelajar seminari ultra-Ortodoks Yahudi bulan ini, susulan keputusan Mahkamah Agung yang membatalkan pengecualian lama ketika keadaan pasukan simpanan semakin tertekan akibat tugasan berpanjangan.

Keputusan Mahkamah Agung tahun lalu menamatkan dasar pengecualian tentera terhadap pelajar agama yang telah diamalkan selama beberapa dekad. Ketika itu komuniti ultra-Ortodoks masih kecil, berbanding kira-kira 13 peratus daripada populasi Israel hari ini.

Perkhidmatan ketenteraan diwajibkan ke atas kebanyakan lelaki Yahudi Israel bermula pada usia 18 tahun selama antara 24 hingga 32 bulan, diikuti perkhidmatan simpanan bertahun-tahun selepas itu.

Penduduk Arab Israel yang membentuk 21 peratus daripada populasi kebanyakannya dikecualikan, walaupun ada yang turut berkhidmat secara sukarela.

Menurut kenyataan jurucakap tentera Israel pada Ahad, langkah ini dibuat ketika media tempatan melaporkan usaha dua parti ultra-Ortodoks dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk merangka kompromi undang-undang bagi menangani isu tersebut.

Isu pengecualian ini menjadi semakin hangat berikutan tekanan berterusan terhadap angkatan bersenjata Israel yang kini terlibat dalam konflik serentak dengan Hamas di Gaza, Hezbollah di Lubnan serta Houthi di Yemen dan Iran.

Pemimpin ultra-Ortodoks dalam gabungan rapuh Netanyahu menyuarakan kebimbangan bahawa penempatan pelajar agama bersama anggota tentera sekular termasuk wanita, boleh mengancam identiti dan amalan keagamaan mereka.

Pihak tentera memberi jaminan bahawa mereka akan menyediakan persekitaran yang menghormati cara hidup ultra-Ortodoks serta membangunkan program sokongan khas bagi membantu proses penyesuaian kumpulan tersebut dalam perkhidmatan ketenteraan.

Notis panggilan dijangka akan dihantar dalam bulan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN