Pelacur beri alasan 'datang bulan' elak ditahan - Utusan Malaysia

Pelacur beri alasan ‘datang bulan’ elak ditahan

DUA pelacur warga asing ditahan pegawai imigresen dalam Op Gegar di salah sebuah hotel di Alor Setar, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang wanita yang disyaki menawarkan khidmat seks cuba mengelak daripada ditahan anggota penguat kuasa dengan memberi alasan ‘datang bulan’ ketika serbuan.

Namun temberang wanita warga Vietnam itu tidak menjadi apatah lagi apabila diserbu dalam Op Gegar itu, dia berada dalam keadaan separuh bogel.

Malah helah wanita berusia 20-an itu turut dibocorkan oleh pelanggannya yang juga lelaki warga tempatan.

Wanita tersebut antara warga asing yang ditahan sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Kedah kerana didapati menjalankan aktiviti dengan menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di sebuah hotel di Jalan Lumpur di sini semalam.

Difahamkan, wanita berkenaan menggunakan aplikasi WeChat untuk mencari pelanggan dan mengenakan bayaran mencecah RM200 untuk sejam.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Ketua Penolong Pengarah Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, operasi hampir tiga jam bermula pukul 8.30 malam itu membabitkan 16 pegawai itu selepas pihaknya melakukan risikan dan menerima maklumat berhubung kegiatan tidak bermoral di dua hotel berkenaan.

“Dalam operasi itu seramai 21 individu terdiri daripada 12 lelaki dan sembilan wanita diperiksa dan tujuh daripada mereka didapati tiada dokumen sah selain tinggal lebih masa di negara ini.

“Semua yang ditahan kerana melakukan kesalahan itu terdiri daripada tiga wanita Vietnam serta empat wanita Thailand dan mereka juga dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran berdasarkan kepada beberapa penemuan bahan bukti ketika serbuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu katanya, turut ditemukan ketika serbuan adalah bahan terlarang serta peralatan menghisap dadah dalam bilik hotel didiami mereka.

Menurutnya, kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) itu akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantek Sik dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kita turut mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada pekerja hotel manakala pelanggan yang dipercayai mendapatkan khidmat seks dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati ada antara PATI berkenaan masuk secara tidak sah melalui jalan laut iaitu di Kuala Perlis, Perlis dan Sungai Golok Kelantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya