Pasukan petugas khas ditubuh nilai budaya kerja, isu buli

Pasukan petugas khas ditubuh nilai budaya kerja, isu buli petugas kesihatan – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebuah Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) ditubuhkan secara rasmi semalam antaranya bagi menganalisis maklumat dan hasil siasatan insiden kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang.

Penubuhan pasukan khas itu juga ekoran laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi, bukan sahaja oleh PPS, malahan kakitangan perkhidmatan kesihatan semasa melaksanakan perkhidmatan mereka. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, HWCITF itu dipengerusikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Datuk Dr. Siti Hamisah Tapsir dan dianggotai lapan individu profesional serta pakar dalam bidang masing-masing. 

Menurut beliau, pasukan khas ini akan menyediakan laporan penilaian serta cadangan penambahbaikan budaya kerja dan pengurusan sumber manusia kakitangan perkhidmatan  kesihatan secara umum dan PPS, secara khusus untuk dibentangkan kepada beliau dalam tempoh dua bulan dari tarikh  penubuhan. 

“Mengambil kira kepentingan perkhidmatan kesihatan KKM kepada  negara dan pembangunan modal insan, skop dan terma Pasukan Petugas Khas ini akan merangkumi aspek budaya kerja serta pengurusan sumber manusia kakitangan kesihatan untuk memastikan penyampaian mutu  perkhidmatan yang berkualiti serta profesional,” katanya dalam kenyataan semalam.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan PPS atau doktor muda yang menjalani latihan klinikal (housemanship) di hospital kerajaan me­ngakui persekitaran tempat kerja mereka sangat tidak sihat apabila 60 peratus dalam kalangan mereka tertekan kerana dibuli.

Ia susulan kejadian seorang doktor pelatih HPP dilaporkan maut selepas terjatuh dari kediamannya dalam kejadian 17 April lalu.

Khairy semalam mendedahkan doktor pa­­­­­­­­kar antara lima pegawai perubatan yang didakwa terlibat dalam kes buli di HPP itu. 

Khairy berkata, Pengerusi HWCITF imempunyai pengalaman luas dan pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dari tahun 2017 hingga 2019 dan kini menjawat jawatan Naib Canselor UCSI selepas 33 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam. 

Lapan individu pakar lain ialah Datuk Hamidah Naziadin yang berpengalaman luas selama 31 tahun dalam bidang sumber manusia dan pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Sumber  Manusia Kumpulan CIMB dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB.

Selain itu ialah, Prof. Dr. Zabidi A. M. Hussin (Pakar Pediatrik dengan bidang pengkhususan dalam Neurologi Pediatrik dan Pendidikan Perubatan dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil  Pegawai Perubatan Siswazah Majlis Perubatan Malaysia); Mohamed Ridza Mohamed Abdullah (peguam dan rakan kongsi di Mohamed Ridza & Co (MRCO).

Anggota lain, Prof. Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin (pakar perunding psikiatri dan pakar berhenti merokok dari Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya); Dr. Chong Su-Lin (Ketua Pegawai Eksekutif IMU Healthcare); Manvir Victor (aktivis dan wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai Peguambela Pesakit Antarabangsa dan juga menganggotai Global Patient for Patient Safety).

Selain itu ialah Sivaramakrishnan Balasubramanian (pakar penilaian, membangun dan melatih CEO, eksekutif dan pemimpin berpotensi tinggi) serta wakil dari Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara itu Khairy berkata, isu buli dalam kalangan doktor di hospital adalah sesuatu yang tidak boleh dibandingkan dengan peredaran zaman.

Tegasnya, hospital seharusnya mewujudkan budaya kerja yang sihat, bukannya budaya toksik sehingga berlakunya isu tidak diingini seperti buli.

“Budaya kerja mesti ada sikap hormat-menghormati, beri sokongan dan perkasakan satu sama lain. Bukan menganiaya dan memalukan mana-mana individu,” katanya menerusi akaun Twitter miliknya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas mengadakan lawatan dan mendengar pengalaman doktor pelatih di Hospital Selayang kelmarin.

“Banyak perkara yang diluahkan kepada saya. Ada jabatan yang mempunyai budaya kerja yang bagus. Ada pula yang boleh diperbaiki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya